Benarkah urusan harta pusaka di Malaysia boleh jatuh ke dalam kategori gharar? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 23 August 2023
wasiyyah

BENARKAH URUSAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA BOLEH JATUH KE DALAM KATEGORI GHARAR ?

 

 

 

MINGGU ini nampaknya sekali lagi saya perlu menjelaskan tentang isu GHARAR di dalam urusan harta pusaka di Malaysia.

 

Ini kerana selepas saya menyentuh isu ini di dalam penulisan yang lepas, saya telah dihujani banyak persoalan dan hujah tentang kewujudan isu gharar dalam urusan harta pusaka di Malaysia.

 

Seperti yang kita semua ketahui, di dalam melaksanakan muamalat atau bertransaksi, fuqaha’ sependapat iaitu elemen gharar, maisir dan riba’ hukumnya ialah haram dan wajib dielakkan oleh umat Islam.

 

Ini kerana kewujudan elemen tersebut akan menyebabkan wujudnya sesuatu pihak yang teraniaya dan ia juga jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Gharar bermaksud terdapat kekaburan atau ketidakjelasan di dalam sesuatu akad muammalat dan keadaan ini berisiko memberi mudarat kepada pihak-pihak yang bertransaksi.

 

Kekaburan ini datang dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi jumlah , bilangan, nilai, kualiti penyerahan, waktu serahan atau apa sahaja yang terkait dengan transaksi itu.

 

Allah SWT berfirman di dalam ayat 188 Al Baqorah, “ Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”

 

Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud “Rasulullah SAW melarang jual-beli hashah ( dengan melempar batu ) dan jual beli gharar” juga menguatkan hujah bahawa gharar ini memang elemen yang ditolak Islam.


 

wasiyyah

 

Imam Al-Syafie di dalam kitabnya Qalyubi wa Umairah mendefinisikan gharar sebagai sebagai apa-apa yang akibatnya tersembunyi dalam pandangan kita dan akibat yang paling mungkin muncul adalah yang paling ditakuti.

 

Allahyarham Dr Wahbah Al Zuhaili di dalam buku karangannya  Fiqh Islam wa Adilatuhu (2011) mentafsirkan gharar sebagai transaksi yang mengandungi unsur ketidakpastian

 

Sistem kewangan Islam di Malaysia amat sensitif di dalam memastikan elemen ini dihindari dan kawalan ketat dikenakan oleh badan berotoriti berkenaan. Namun kawalan yang sama tidak berlaku di dalam industri pengurusan harta pusaka.

 

Di Malaysia, adalah menjadi amalan biasa kepada sesuatu organisasi profesional yang menguruskan harta pusaka untuk mengenakan fi pengurusan harta pusaka sekiranya mereka dilantik sebagai Pentadbir atau Wasi untuk harta pusaka.

 

Seperti yang pernah saya ulas sebelum ini, tiada apa yang salah dengan perkara di atas kerana memang dari sudut pengurusan harta pusaka di dalam Islam mahupun daripada sudut undang-undang sivil, mengenakan caj perkhidmatan itu adalah perkara yang dibenarkan.

 

Namun wujud unsur gharar di sini kerana fi ini dikenakan ke atas nilai harta pusaka ketika kematian. Walaupun ketika hidupnya, si pewasiat yang membuat wasiat melantik wasi telah dimaklumkan mengenai kadar fi ini namun nilai harta pusakanya ketika mati tidak diketahui ketika kematian itu.

 

Gharar fahish merujuk kepada ketidakjelasan yang besar di dalam sesuatu akad. Dalam konteks pengurusan harta pusaka, gharar ini berlaku apabila wujud akad di antara pelanggan semasa hidupnya dengan Syarikat yang menguruskan harta pusaka yang menyebut bahawa Syarikat berkenaan boleh mengenakan apa sahaja caj atau berapa sahaja nilai caj yang difikirkan sesuai oleh Syarikat berkenaan bagi menguruskan harta pusaka pelanggan selepas  mati.

 

Ini boleh dianggap gharar fahish kerana berapa caj yang akan dikenakan itu tidak dinyatakan secara jelas dan hak untuk mengenakan caj itu ialah hak mutlak Syarikat berkenaan mengikut kesesuaian keadaan. Situasi ini berisiko menyebabkan waris-waris akan teraniaya dan tertindas.

 

Walaupun demikian amalan biasa dalam industri pengurusan harta pusaka di Malaysia, Syarikat berkenaan telah menyatakan dengan jelas kepada pelanggan daripada awal lagi bahawa jika ia dilantik sebagai wasi bagi menguruskan harta pusaka pelanggannya selepas kematian, maka caj pengurusan mengikut kadar yang ditetapkan akan dikenakan ke atas harta pusaka atau dibayar oleh waris.


 

wasiyyah

 


Kadar ini pula boleh jadi daripada 1-5% daripada nilai harta pusaka sepertimana dibenarkan oleh Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

 

Dari satu sudut, peratusan caj itu telah pun ditetapkan dan diakadkan dengan sempurna. Jadi tiada unsur gharar fahish di situ. Pelanggan tahu dengan jelas kadar fi tersebut.

 

Namun demikian, masih wujud kekaburan kepada urusan ini kerana nilai harta pelanggan akan berubah-ubah dan tidak tetap sehinggalah dia meninggal dunia kelak.

 

Hartanya mungkin bernilai RM1 juta hari ini ketika dia melantik Syarikat berkenaan sebagai wasi namun apabila dia mati, harta pusakanya mungkin bernilai RM3 juta ataupun mungkin juga kurang daripada RM1 juta.

 

Walaupun telah diakadkan bahawa fi yang dikenakan di antara 1-5%, namun jumlahnya adalah berbeza. Ini ditambah pula dengan kewujudan fi rampaian seperti fi guaman, fi carian dan fi-fi lain yang kadar dan jumlahnya langsung tidak diketahui.

 

Sesetengah pandangan mengatakan bahawa keadaan ini hanya mewujudkan Gharar Yasir iaitu ketidaktentuan yang kecil dan tidak menimbulkan kemudaratan kepada waris-waris dan dengan itu ia dibenarkan di dalam hukum syarak. Jadi sesetengah pandangan menerima amalan ini.

 

Seperti yang saya ulas sebelum ini, saya menghormati semua pandangan-pandangan berkenaan kerana setiap orang mempunyai pengetahuan dan pengalaman tersendiri.

 

Namun bagi Wasiyyah Shoppe Berhad, kami berpendirian bahawa adalah lebih baik pintu mudarat yang membawa kepada risiko berlakunya gharar itu ditutup serapat-rapatnya selaras dengan konsep fiqh, la darar wa la darir (tiada mudarat dan tidak membawa mudarat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitabnya al-muwatho’.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, semua akad kami adalah jelas. Dari awal transaksi pelanggan membayar kepada kami, segala caj dan fi telah dispesifikasikan secara tepat.


 

wasiyyah

 

Pelanggan tahu untuk perkhidmatan apa mereka membayar dan selepas mereka mati apakah bentuk perkhidmatan yang akan diberikan kepada waris mereka serta caj yang akan dikenakan kepada waris.

 

Pelanggan juga bersetuju dan berakad dengan jelas bahawa sebahagian daripada bayaran mereka akan disumbangkan kepada satu tabung tabarru’ yang dipegang secara amanah oleh Wasiyyah Shoppe Berhad bagi pihak semua pelanggannya selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Oleh kerana Wasiyyah Shoppe Berhad merupakan satu-satunya Syarikat amanah patuh syariah di Malaysia yang mengguna pakai konsep tabarru’ pusaka, tiada fi perkhidmatan dikenakan kepada waris-waris. Ini berbeza dengan amalan biasa di mana waris-waris dikenakan fi beberapa peratus dari nilai harta pusaka yang menjadi amalan di Malaysia.

 

Kaedah kami ini sekaligus menutup rapat pintu mudarat dan menjadikan urusan harta pusaka di Wasiyyah Shoppe Berhad terhindar dari unsur gharar ini.

 

Harta pusaka ini diuruskan selepas kematian kita dan saya percaya sebagai orang Islam kita pasti mahukan urusan ini dibuat sepenuhnya mengikut kaedah Syariah tanpa sebarang keraguan.

 

Jika inilah hasrat anda, maka pilihan anda di Malaysia hanyalah satu iaitu Wasiyyah Shoppe Berhad !

 

   

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

   

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews

 

Portfolio Tags