KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan rangka tindakan (blueprint) dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pada masa kini tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian gelandangan di negara ini.
"Kerajaan juga telah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.
"Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dihadiri oleh Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.
Beliau berkata, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 [Akta 802] akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.
"Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif (Alternative Service Delivery, ASD) di sebuah pusat jagaan warga emas bermula pada 21 November 2021.
"Pendekatan baharu ini melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.
Beliau berkata, sejak DPTN diperkenalkan pada tahun 2016 jumlah pusat tahfiz berdaftar telah meningkat daripada 571 buah kepada 1,208 buah pusat tahfiz pada tahun 2022.
"Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlu bersama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan dan pusat tahfiz untuk mendapatkan kelulusan beroperasi. Contohnya, isu penukaran status tanah pertanian kepada tanah komersial bagi membolehkan pusat-pusat ini beroperasi dengan sah.
"Kerjasama bersepadu amat diperlukan bagi menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan rentan," katanya.
Menurutnya, Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuklah pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.
Beliau berkata, definisi golongan rentan kini diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan (stateless), pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.
"Penubuhan jawatankuasa ini bagi merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian dan penganiayaan.
"Keahlian jawatankuasa ini juga akan diperluaskan dengan penyertaan wakil-wakil NGO yang berkaitan bagi penyelarasan perlindungan golongan rentan," katanya. - DagangNews.com







