Hala tuju perkembangan Kewangan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 12 December 2023

HALA TUJU PERKEMBANGAN KEWANGAN ISLAM

 

 

SEBELUM ini penulis telah diminta menyediakan jawapan kepada persoalan berkaitan dengan hala tuju perkembangan kewangan Islam.

 

Ia adalah satu subjek yang tidak asing dalam kalangan pemberita untuk melaporkan dalam akhbar mereka.

 

Berikut adalah beberapa jawapan kepada soalan terpilih yang dikemukakan.

 

Apakah perkembangan dan trend yang paling ketara dalam industri kewangan Islam Malaysia sepanjang 5-10 tahun yang lalu?

Terdapat beberapa perkembangan dan trend yang ketara termasuklah pertumbuhan pasaran Sukuk dari sudut terbitan dan penerimaan.

 

Fintech serta perbankan digital menjadi keutamaan perbankan termasuk platform perbankan digital dan aplikasi mudah alih yang dibangunkan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan kewangan Islam.

 

Terbaharu adalah lahirnya minat yang semakin meningkat untuk menggabungkan prinsip mampan dan etika ke dalam kewangan Islam. Menghubungkan kewangan Islam dengan projek mesra alam dan inisiatif pembangunan mampan.

 

Badan kawal selia dalam pelbagai bidang kuasa sedang berusaha menyediakan garis panduan yang lebih jelas, menambah baik penyeragaman, dan memastikan pematuhan terhadap prinsip Syariah untuk menggalakkan kestabilan dan keyakinan dalam industri.

 

Institusi kewangan mikro Islam telah muncul untuk menangani keperluan pembiayaan perniagaan kecil dan individu termasuklah kebangkitan syarikat permulaan (start-up) fintech Islam untuk memanfaatkan teknologi dalam menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan patuh Syariah.

 

Akhirnya program dan inisiatif pendidikan digalakkan untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik tentang amalan kewangan patuh Syariah.

 

 

Iktisad

 

 

Di manakah peluang pertumbuhan terbesar kewangan Islam di Malaysia untuk bergerak ke hadapan?

Antara peluang terbaik adalah penyepaduan berterusan teknologi kewangan (fintech) ke dalam kewangan Islam yang membolehkan peningkatan kecekapan, kebolehcapaian dan pengalaman pelanggan.

 

Kontrak pintar, yang secara automatik melaksanakan klausa kontrak apabila syarat yang telah ditetapkan dipenuhi, boleh menyelaraskan pelbagai proses kewangan.

 

Islam, dengan prinsip pelaburan yang beretika dan perkongsian risiko, berada pada kedudukan yang baik untuk meneroka pasaran yang semakin meningkat bagi pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial.

 

Penerokaan penyelesaian inovatif dalam kewangan sosial Islam, termasuk inisiatif berasaskan Zakat, boleh menyumbang kepada menangani cabaran sosial dan ekonomi yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

 

Sokongan kepada pertumbuhan syarikat permulaan (start-up) fintech Islam boleh membawa inovasi dalam pelbagai bidang kewangan Islam termasuklah perkhidmatan nasihat robot yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI).

 

Ia boleh menyediakan penyelesaian pengurusan kekayaan yang kos efektif dan cekap untuk syarikat yang mematuhi prinsip kewangan Islam. Ia boleh dikembangkan dengan usaha yang berterusan dalam mendidik profesional kewangan dan orang ramai tentang prinsip kewangan Islam.

 

Dengan memanfaatkan fintech dengan cara ini, institusi kewangan Islam boleh mengukuhkan pematuhan mereka kepada prinsip Syariah, meningkatkan ketelusan, dan menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah diakses dan cekap kepada pelanggan.

 

Adalah penting untuk mempunyai struktur tadbir urus yang teguh dan kerjasama berterusan antara sarjana Islam dan pakar fintech untuk memastikan inovasi teknologi sejajar dengan piawaian etika dan undang-undang kewangan Islam.

 

 

parafrasa

 

 

Bagaimanakah peningkatan permintaan untuk produk dan perkhidmatan pelaburan patuh Syariah dipenuhi?

Institusi kewangan harus mempelbagaikan penawaran produk mereka untuk memasukkan pelbagai jenis instrumen patuh Syariah. Peningkatan permintaan dapat dipenuhi dengan memberikan tumpuan kepada beberapa cara seperti:

  1. Tawarkan penyelesaian kewangan tersuai (customised financial solutions) yang memenuhi keperluan khusus pelanggan
  2. Terima fintech untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan
  3. Kerjasama dengan institusi kewangan Islam dan konvensional, untuk meluaskan jangkauan instrumen kewangan Islam. Perkongsian juga boleh memudahkan pembangunan produk patuh Syariah baharu dan inovatif
  4. Terokai peluang untuk pengembangan global di mana kewangan Islam tidak terhad kepada negara majoriti Muslim, dan terdapat potensi permintaan di wilayah majoriti bukan Islam
  5. Libatkan aktiviti dengan komuniti tempatan dan pemimpin agama untuk memahami keperluan kewangan mereka dengan lebih baik
  6. Manfaatkan minat yang semakin meningkat dalam kewangan yang mampan dan beretika
  7. Kekal mengikuti arah aliran pasaran dan berinovasi secara berterusan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang
  8. Pastikan pematuhan ketat kepada prinsip Syariah dan mematuhi piawaian kawal selia untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan dan pengawal selia dalam integriti instrumen kewangan Islam.

 

 

parafrasa

 


Apakah cabaran peraturan dan dasar yang unik untuk kewangan Islam berbanding kewangan konvensional di Malaysia?

Cabaran peraturan dan dasar kewangan Islam sedikit unik jika dibanding dengan kewangan tradisional. Prinsip Syariah yang diguna pakai dalam kewangan Islam adalah mandatori berbanding dengan yang satu lagi.

 

Prinsip ini boleh tertakluk kepada tafsiran yang berbeza oleh ulama Islam dan mencapai konsensus mengenai tafsiran pematuhan Syariah boleh menjadi mencabar dan boleh membawa kepada amalan yang berbeza-beza dalam kalangan institusi kewangan yang berbeza.

 

Tidak seperti kewangan konvensional, yang sering bergantung pada kontrak piawai, kontrak kewangan Islam boleh berbeza-beza dan seterusnya akan dizahirkan dalam setiap dokumen dalam kewangan Islam.

 

Untuk menyesuaikan piawaian dan peraturan dalam menampung teknologi baru yang muncul sambil memastikan pematuhan Syariah memerlukan pertimbangan yang teliti oleh pelbagai pihak termasuklah peraturan cukai dan layanan untuk urus niaga kewangan Islam.

 

Kewangan Islam selalunya melibatkan mekanisme perkongsian risiko dan pengumpulan risiko yang berbeza daripada kewangan berasaskan faedah konvensional, termasuklah Sukuk. Badan kawal selia mesti memastikan bahawa terbitan Sukuk mematuhi prinsip Syariah sambil memenuhi permintaan pasaran.

 

Salah satu syarat kewangan Islam adalah untuk menghalang percampuran dana antara window banking (tingkap perbankan) dan Islam. Ini boleh menjadi rumit. Campur tangan pihak yang berwajib perlu untuk menguatkuasakan peraturan untuk menghalang percampuran sebegini.

 

Akhirnya badan kawal selia mungkin perlu melabur dalam inisiatif pendidikan untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang prinsip kewangan Islam. Bajet yang bersesuaian perlu diperuntuk dalam usaha ipendidikan dan kesedaran sebegini.

 

 

parafrasa

 

 

Apakah nilai etika yang sepatutnya tertanam dalam ekosistem kewangan Islam Malaysia semasa ia berkembang?

Pengenalan nilai etika baharu dan penekanan terhadap moral dalam perkembangan ekosistem kewangan Islam di Malaysia akan memastikan kelestarian industri yang bersih, adil, dan bertanggungjawab.

 

Inisiatif seperti ketelusan dan akauntabiliti, impak jangka panjang terhadap masyarakat dan alam sekitar dalam setiap keputusan dan produk kewangan yang dibangunkan adalah perlu.

 

Di samping itu keadilan dan tanggungjawab sosial, pembangunan insan, fokus kepada kesejahteraan masyarakat, kepatuhan kepada piawaian antarabangsa, penggunaan teknologi dengan bertanggungjawab dan keterbukaan kepada Inovasi perlulah diberikan galakan untuk terus dipergiatkan.

 

Pada penulis, penerapan nilai-nilai etika baharu ini akan membantu membentuk landskap kewangan Islam di Malaysia yang beretika, memastikan integriti dan keadilan, dan menyokong kelestarian jangka panjang industri ini.

 

Ini juga dapat membina keyakinan dan reputasi industri, menarik pelabur, dan memenuhi harapan masyarakat yang semakin meningkat.- DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

Portfolio Tags