Dari segi syariah, bolehkah matawang digital dan token digital digunakan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 26 December 2023

DARI SEGI SYARIAH, BOLEHKAH MATAWANG DIGITAL & TOKEN DIGITAL DIGUNAKAN?

 

 

PENULIS dijemput untuk menjadi panelis di Simposium Kewangan Islam dan Muamalat yang dilaksanakan oleh pelajar akhir tahun di Pusat Pengajian Perniagaan Islam di Universiti Utara Malaysia pada minggu lepas.

 

Para pelajar telah mempamerkan hasil kajian mereka tentang isu-isu semasa kewangan Islam di simposium tersebut.

 

Antara yang menarik adalah tentang matawang digital dan token digital.

 

 

itisad

 

 

Matawang digital bermaksud representasi nilai digital yang dicatatkan pada lejar digital yang diedarkan, sama ada, dijamin secara kriptografi atau sebaliknya.

 

Ia berfungsi sebagai media pertukaran (medium of exchange) dan boleh ditukar dengan wang apa pun, termasuk melalui pengkreditan atau debit akaun.

 

Penulis menerangkan kepada para pelajar, matawang digital memainkan peranan yang semakin penting dalam sistem kewangan moden.

 

Matawang digital membolehkan transaksi kewangan dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah tanpa perlu melalui proses yang rumit yang biasa terdapat dalam sistem kewangan konvensional.

 

Malah, ia mampu menyederhanakan proses pembayaran dengan menggunakan teknologi blockchain yang impaknya mengimbangkan kos dengan mengurangkan keperluan untuk perantara dan pemprosesan pembayaran yuran.

 

Dari pengamatan penulis, para pelajar telah menyatakan satu perkara penting berkaitan matawang digital.  Penggunaan matawang digital telah membuka pintu kepada inovasi dalam industri kewangan.

 

Contoh yang diberikan seperti, teknologi blockchain membolehkan pembangunan kontrak pintar, yang boleh mengotomasikan pelbagai jenis transaksi dan perjanjian tanpa perlu perantara.

 

Malah, dengan menggunakan teknologi kriptografi, matawang digital dapat menyediakan beberapa lapisan keselamatan tambahan kerana transaksi yang dicatat dalam blockchain, adalah amat sukar untuk diubah.

 

 

iktisad

 

 

Di peringkat global matawang digital memudahkan pertukaran nilai. Ini dapat menyederhanakan perdagangan antarabangsa dan mengurangkan keperluan untuk pertukaran matawang secara tradisional.

 

Transaksi menggunakan matawang digital dapat dilakukan secara hampir segera, meningkatkan kecepatan putaran modal dan membolehkan pelbagai aktiviti kewangan dilaksanakan dengan lebih efisien.

 

Matawang digital dapat memberikan akses kepada perkhidmatan kewangan kepada individu yang sebelum ini mungkin tidak mempunyai akses.

 

Ini termasuk pengekodan kredit alternatif dan pinjaman mikro yang dapat diberikan kepada individu yang tidak mempunyai sejarah kredit secara tradisional.

 

Walaupun terdapat banyak kelebihan, penting untuk diingat bahawa penggunaan matawang digital juga membawa cabaran seperti kestabilan nilai, keamanan siber, dan isu peraturan yang masih berkembang.

 

Oleh itu, perlu ada pendekatan yang seimbang untuk memastikan manfaat maksimum dari matawang digital dalam sistem kewangan.

 

Dari pembacaan penulis, dari sudut Syariah, matawang digital dalam bentuk ini dikategorikan sebagai ʻurudh (barang yg boleh dijual dengan wang) dan ia BUKAN mata wang (medium of exchange).

 

Oleh itu ia TIDAK dikategori sebagai barangan ribawi kerana matawang digital sebegini kebiasaannya tidak disokong oleh barangan ribawi.

 

 

iktisad

 

 

Barangan ribawi merujuk kepada barang-barang tertentu yang mempunyai nilai ekonomi dan boleh digunakan sebagai medium pertukaran, tetapi tidak boleh diniagakan dengan cara yang melibatkan unsur riba (faedah atau keuntungan yang dilarang dalam Islam).

 

Oleh itu, sekiranya mata wang digital ini strukturnya disokong oleh item ribawi yang terdiri daripada emas, perak dan mata wang, maka ia akan dikategorikan sebagai matawang (ribawi) dari perspektif Syariah yang perlu mengikut syarat-syarat barangan ribawi.

 

Sementara itu, token digital pula bermaksud representasi digital yang direkodkan pada lejar digital yang diedarkan sama ada ‘diawasi' secara kriptografi atau sebaliknya.

 

Token digital juga merujuk kepada representasi digital dari nilai atau aset yang dapat digunakan sebagai alat tukar, penyimpan nilai, atau unit pengukur nilai.

 

Dalam industri kewangan moden kini, istilah "token" sendiri memiliki beberapa makna, tergantung pada konteks penggunaannya seperti Kriptokurensi (Cryptocurrency), Token Keselamatan (Security Token), Token Utiliti (Utility Token) dan Token Non-Fungible (Non-Fungible Token atau NFT).

 

Dari sudut Syariah, token digital telah diiktiraf oleh cendikiawan Islam sebagai "mal" atau 'harta', dan ia tergolong dalam kategori ʻurudh (barang yg boleh dijual dengan wang).

 

Namun begitu, sekiranya token digital itu disokong oleh item ribawi, pemerdagangan token digital tersebut akan tertakluk kepada syarat-syarat Syariah dalam transaksi item ribawi.

 

 

iktisad

 

iktisad

 


Definisi matawang digital dan token digital ini adalah bersumberkan kepada "Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019", yang berkuatkuasa pada 15 January 2019.

 

Juga, keterangan di atas penulis petik dari keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SACSC), untuk makluman kita bersama.

 

Oleh itu, penulis menyarankan kepada pembaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan tepat berkaitan dengan matawang digital dan token digital ini dengan melayari laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau merujuk kepada pakar-pakar Syariah yang mengkaji bidang ini. - DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags