Awas perangkap Scam Cinta dalam talian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 16 January 2024

AWAS PERANGKAP SCAM CINTA DALAM TALIAN

 

 

 

PENULIS berbincang dengan mentor penulis di UTM, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad yang merupakan Timbalan Dekan Akademik, Azman Hashim International Business School, UTM berkaitan dengan artikel scam kewangan minggu lepas.

 

Beliau menyarankan penulis menukil sedikit coretan berkaitan dengan scam cinta atau penipuan cinta yang bermaharajalela di dalam media sosial kini.

 

 

iktisad
     Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad 


 

Penipuan cinta, juga dikenali sebagai penipuan percintaan, ialah sejenis penipuan dalam talian di mana individu mencipta persona palsu pada platform temu janji atau media sosial untuk menjalinkan hubungan romantis dengan niat untuk mengeksploitasi mangsa mereka dari segi kewangan. Pelaku biasanya menyasarkan individu yang mencari teman atau hubungan romantis.

 

Menurut pembacaan, penulis mendapati proses penipuan cinta selalunya melibatkan beberapa peringkat. Penipu mulanya akan mencipta profil yang meyakinkan dan menarik menggunakan nama, foto dan maklumat peribadi palsu. Pancingan cinta ini akan menggunakan umpanan gambar yang dicuri daripada individu lain untuk meningkatkan kebolehpercayaan identiti mereka.

 

Sebaik sahaja umpan di pancingan dimamah mangsa, perhubungan mula membenih, penipu mula berusaha untuk menyemai cinta palsu ini dengan membina ikatan emosi dengan mangsa mereka. Mereka sering menggunakan taktik dan teknik untuk membuat mangsa berasa disayangi, dihargai, dan hati mangsa dileburkan secara emosi dalam hubungan itu.

 

Seterusnya, apabila emosi mangsa dilebur dengan mendapat kepercayaan penuh mangsa, penipu mula mencipta krisis fiksyen atau kecemasan yang memerlukan bantuan kewangan. Ini mungkin termasuk perbelanjaan perubatan, kos perjalanan atau keperluan mendesak lain.

 

Ini akan menyebabkan timbul rasa belas kasihan, sedih dan hati mangsa mula mempercayai cerita dongeng si penipu ini walaupun kadang-kadang akal terang-terangan tahu kehadiran muslihat di sebalik rayuan si penipu ini. Benarlah seperti dikata orang tua-tua, cinta itu buta.

 

Kebutaan cinta ini akan menyaluti akal mangsa yang waras apabila si penipu itu mula meminta wang daripada mangsa yang sedang lemas dalam emosi mereka, untuk membantu menyelesaikan krisis yang direka-reka. Si penipu kebiasaannya akan memberikan cerita yang terperinci dan meyakinkan untuk memanipulasi mangsa untuk mengkreditkan wang kepada beliau. Bermula dengan jumlah yang kecil dan sedikit demi sedikit kepada jumlah yang besar. Malah, kebiasaannya, si penipu akan membayar balik hutang yang kecil dan ini membuta si mangsa lebih yakin dengan cinta palsu yang dimainkan oleh si penipu ini.

 

 

iktisad

 

 

Walaupun selepas menerima wang, penipu boleh terus memanipulasi mangsa dengan mencipta sebab baharu untuk bantuan kewangan. Kitaran boleh berulang sehingga mangsa menjadi curiga atau kehabisan sumber. Penipuan cinta boleh membawa kesan emosi dan kewangan yang ketara kepada mangsa.

 

Mangsa penipuan sering dimanipulasi oleh penipu yang mengambil kesempatan daripada kelemahan, emosi dan kepercayaan. Penulis cuba untuk mengaitkan sikap tamak mangsa dengan penipuan cinta ini, namun hasil pemerhatian penulis, daripada menumpukan pada "ketamakan" yang dirasakan dalam mangsa, adalah lebih membina untuk memahami taktik psikologi yang digunakan oleh penipu untuk mengeksploitasi individu.

 

Penulis mendapati si penipu cinta sering menjadikan mangsa mereka di kalangan individu yang terdedah secara emosi atau mencari teman. Kesepian, kemurungan peribadi, atau keinginan untuk berteman boleh menjadikan individu lebih terdedah kepada manipulasi.

 

Penipu pandai membina rasa kepercayaan dan keintiman dengan pantas dalam komunikasi bersama mangsa dengan menyatakan cinta dan kehidupan bahagia bersama. Mereka mewujudkan rasa selamat yang palsu untuk memanipulasi mangsa supaya mempercayai hubungan yang sedang dibina itu tulen.

 

Antara kelaziman penipuan cinta ini adalah, si penipu sering mengasingkan mangsa daripada rakan dan keluarga, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk mendapatkan nasihat atau pengesahan daripada orang lain yang mungkin mampu untuk memberikan pandangan waras yang si mangsa sedang dipermainkan oleh di penipu.


 

iktisad


 

Penipu juga bijak mencipta keadaan cemas yang direka-reka atau situasi mendesak, mendorong mangsa untuk bertindak pantas tanpa masa yang mencukupi untuk memikirkannya dengan waras. Keadaan mendesak ini boleh menyebabkan mangsa membuat keputusan yang tergesa-gesa disebabkan cagaran cinta palsu yang menyaluti hati si mangsa.

 

Sesetengah mangsa mungkin mengalami masalah kewangan atau ketidakstabilan. Penipu memang suka untuk mengeksploitasi mangsa ini dengan menjanjikan bantuan kewangan atau mempersembahkan peluang pelaburan yang menipu. Penipu cinta sering menjanjikan masa depan yang ideal atau gaya hidup mewah, menarik kepada keinginan dan impian mangsa. Ini boleh mengaburkan pertimbangan dan menyumbang kepada kesediaan mangsa untuk menghantar wang.

 

Isu penipuan cinta ini perlu diketengahkan sebagai isu masyarakat yang perlu diberi perhatian yang kritikal. Mendidik orang ramai tentang taktik penipuan biasa, menggalakkan kesedaran dan memupuk persekitaran di mana individu berasa selesa untuk mendapatkan nasihat boleh menjadi lebih berkesan dalam mencegah penipuan daripada menumpukan pada "ketamakan" yang ada di sanubari mangsa.

 

 

iktisad
Pendidikan isu berkaitan penipuan cinta (love scam) perlu diperhebatkan

 

 

Jika seseorang telah menjadi mangsa penipuan, memberikan sokongan, pemahaman dan bimbingan adalah penting dalam membantu mereka pulih daripada kesan emosi dan kewangan.

 

Berikut adalah beberapa petua untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan cinta:

 

  1. Sahkan identiti dan sentiasa berwaspada terhadap individu yang enggan bersembang secara video atau bertemu secara peribadi.
     
  2. Jangan sekali-kali menghantar wang kepada individu yang tidak dikenali. Elakkan daripada menghantar wang kepada seseorang yang tidak pernah anda temui, tanpa mengira alasan yang diberikan.
     
  3. Gunakan platform yang dipercayai. Berpegang pada platform temu janji atau media sosial yang bereputasi dan mempunyai prosidur langkah keselamatan yang ditetapkan.
     
  4. Bersikap skeptikal terhadap permintaan luar biasa. Berwaspada terhadap individu yang cepat menyatakan cinta mereka atau mencipta situasi mendesak yang memerlukan bantuan kewangan.
     
  5. Jika seseorang mengesyaki mereka terlibat dalam penipuan cinta atau telah menemui tingkah laku yang mencurigakan dalam talian, adalah dinasihatkan untuk menghentikan komunikasi, dan seterusnya menghubungi penguatkuasa undang-undang tempatan atau pihak berkuasa yang berkaitan. -DagangNews.com

 

 
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags