Grab, Sedania tawar pembiayaan patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Grab, Sedania tawar pembiayaan patuh syariah

KUALA LUMPUR 18 Mac -  Grab Financial Group (GFG) Malaysia dengan kerjasama anak syarikat fintech Sedania Innovator Bhd., Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. (SASC) menawarkan Grab Cash Financing-i, produk pembiayaan patuh syariah kepada rakan pemandu dan penghantar Grab. 

 

Pilihan pembiayaan ini mengurangkan halangan kepada pembiayaan mikro yang kebiasaannya sukar diperoleh untuk individu di bawah paras pendapatan tertentu dan tidak mempunyai sejarah kredit yang formal.

 

Penyelesaian ini dijayakan menerusi Program Pembiayaan GoHalal (GHP) SASC yang memastikan aktiviti dan operasi pembiayaan mematuhi prinsip dan amalan syariah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Nisa Ismail berkata, penyediaan pembiayaan mikro kepada rakyat Malaysia adalah penting dan menjadi keutamaan agar produk-produk dan platform terlibat mematuhi syariah untuk memastikan ketelusan dalam syarat yang dikenakan kepada pelanggan yang memanfaatkan kemudahan ini. 

 

Katanya, GHP dibangunkan dengan matlamat untuk mempercepatkan pendigitalan agar meletakkan pembiayaan syariah pada kedudukan yang strategik untuk menyokong ekonomi hari ini dan masa depan.

 

"Dalam tempoh mencabar ini, adalah penting untuk setiap rakyat Malaysia supaya mendapatkan sokongan dan akses mudah untuk perkhidmatan dan bantuan kewangan yang mendukung kemajuan kehidupan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut satu tinjauan yang melibatkan rakan pemandu dan penghantar Grab, 65% daripada mereka berpandangan bahawa pilihan produk pembiayaan patuh syariah adalah penting berdasarkan kepada keperluan utama kewangan termasuk perbelanjaan untuk kecemasan dan peribadi, menyelesaikan pinjaman sedia ada dan pendidikan ahli keluarga.

 

Di bawah program ini, rakan pemandu dan penghantar yang layak akan menerima maklumat program bersama pautan untuk memudahkan proses permohonan, tanpa memerlukan sebarang dokumen dan cagaran.
 

Produk tersebut ditawarkan kepada mereka yang berusia di bawah 75 tahun dengan pendapatan minimum RM800 (sebulan) sebagai rakan pemandu atau pengantar Grab. 

 

Pembayaran automatik dilakukan secara terus daripada pendapatan harian rakan pemandu atau penghantar bagi memudahkan urusan pembiayaan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Grab Financial Group, Grab Malaysia, Sean Goh berkata, sejak program ini diperkenalkan, kadar penyertaan meningkat sebanyak 16% dalam kalangan rakan-rakan Grab yang layak. 

 

"Ekosistem, teknologi dan data kami memberi pengetahuan yang mendalam terhadap pendapatan dan perbelanjaan rakan-rakan Grab, dan seterusnya mengetahui mata kredit dan keupayaan pembayaran semula, justeru, kami mampu menyesuaikan produk yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan kewangan mereka," katanya. - DagangNews.com