GDEX alami kerugian bersih RM1.9 juta pada suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

GDEX alami kerugian bersih RM1.9 juta pada suku pertama 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - GDEX Bhd. merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.9 juta berbanding keuntungan bersih RM5.58 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan juga susut 13.2% kepada RM91.9 juta, daripada RM105.81 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini berikutan pendapatan daripada segmen perkhidmatan kurier adalah lebih rendah pada suku berkenaan, berjumlah RM82.4 juta, susut 14.6%.

 

Segmen tersebut mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.2 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM6.9 juta bagi tahun sebelumnya terutamanya disebabkan persaingan harga yang sengit, selain penyertaan pemain baharu dan juga kos operasi yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, pendapatan dan keuntungan sebelum cukai bagi segmen perkhidmatan logistik kekal kukuh dengan masing-masing meningkat 2% dan 62.7% kepada RM9.5 juta dan RM1.5 juta berikutan kecekapan operasi yang lebih baik dalam aktiviti logistik.

 

Segmen pelaburan hartanah pula mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM774,000 disebabkan kos penyelenggaraan yang ditanggung dan pengelasan semula pelaburan kepada hartanah, loji dan peralatan.

 

Pengarah Urusan GDEX, Teong Teck Lean berkata, walaupun mengekalkan kedudukan yang kukuh secara keseluruhan di 3 pasaran utama Asia Tenggara, tetapi kumpulan akan terus menghadapi ketidaktentuan di Malaysia yang berpunca daripada harga yang kompetitif berikutan penyertaan pemain baharu dalam pasaran dan kos operasi lebih tinggi.

 

Katanya, kumpulan akan terus melabur dalam modal insan dan mengembangkan penawaran produknya melalui platform digital, serta mengukuhkan infrastruktur teknologi maklumat dan rangkaian penyampaian intra-ASEAN.

 

"Bagi rancangan pengembangan perniagaan, kumpulan akan meneroka peluang perniagaan yang berpotensi di peringkat domestik dan serantau untuk meningkatkan ekosistemnya," katanya. - DagangNews.com