Fundamental teguh dan Jakel lonjak saham Sedania | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 9 June 2021

Fundamental teguh dan Jakel faktor lonjak saham Sedania

 

 

PELABUR dan pedagang saham di Bursa Malaysia “dikejutkan” dengan kenaikan harga saham Sedania Innovator.

 

Ada yang sempat “masuk kapal” dan terbang bersama dan ada pula “tercicir kapal”. Yang sempat bersama, tersenyum lebar kerana meraih keuntungan yang besar. 

 

Pada 19 Mei 2021, harga saham Sedania seunit pada harga 31 sen sesaham, melonjak ke RM1.20 pada 25 Mei 2021.

 

Kenaikan ini didorong pengumuman Sedania Innovator mengenai pengembangan anak syarikat 51% miliknya, Offspring Inc. ke Sepanyol, Finland, Kemboja dan Korea Selatan untuk meningkatkan eksport dan kedudukan di peringkat global.  

 

Offspring adalah sebuah syarikat teknologi kesihatan yang menghasilkan lampin bayi mesra alam, tisu basah boleh terurai, barangan keperluan penjagaan bayi dan produk isi rumah.

 

Menurut Pengarah Urusan Sedania Innovator, Datuk Azrin Mohd Noor, pengembangan syarikat ini melalui kerjasama dengan rakan-rakan di empat negara itu yang mana pengembangan ini akan menyaksikan Offspring memperluas pasaran eksportnya, yang kini termasuk Singapura, Brunei, Filipina, Rusia dan Amerika Syarikat.

 

 

sedania
Pengarah Urusan Sedania Innovator, Datuk Azrin Mohd Noor

 

 

Keputusan ini dilihat pelabur sebagai satu keputusan yang akan menguntungkan syarikat dan membawa lonjakan harga saham Sedania Innovator ke paras tertinggi semenjak penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

 

Sedania juga telah mencatatkan keuntungan selepas cukai bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 yang baik. Inisiatif strategik kumpulan untuk meneroka peluang perniagaan baharu telah memulihkan prestasi Sedania ke tahap lebih kukuh dalam suku pertama tahun 2021.

 

Hasilnya, keuntungan Sedania melonjak kepada RM4.89 juta berbanding kerugian selepas cukai berjumlah RM1.82 juta dalam tiga bulan pertama tahun lalu. Pada masa sama, pendapatan kumpulan turut naik mendadak sebanyak enam kali ganda kepada RM17.07 juta antara Januari hingga Mac berbanding hanya RM2.78 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Segmen yang membawa Sedania kepada keuntungan yang memberangsangkan ini ialah segmen teknologi hijau dan kesihatan yang telah menjadi penyumbang terbesar kepada pengukuhan prestasi syarikat ini.

 

Segmen HealthTech sahaja telah menyumbang hampir 32% kepada jumlah pendapatan kumpulan ketika suku pertama tahun 2021. Walapun dalam ketidaktentuan ekonomi kini, Sedania mencatatkan prestasi yang positif dalam semua segmen perniagaannya.

 

BACA JUGA :

 

 

Terbang Sekali lagi

Setelah berada di puncak dengan harga RM1.20 sesaham pada 25 Mei 2021, ada pelabur yang sudah mula menjual kerana telah mencapai objektif peratusan keuntungan yang dinginkan.

 

Kebiasaannya saham-saham yang naik disebabkan news ini akan kembali stabil kepada purata harga.  Namun apa yang berlaku sebaliknya, saham Sedania Innovator “terbang” sekali lagi pada 28 Mei 2021 selepas Jakel mengumumkan membeli saham Sedania melalui penempatan persendirian (private placement).

 

 

volatiliti

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel mengesahkan bahawa Jakel kini adalah pemegang saham utama Sedania setelah memperolehi 43.35 juta saham atau 12.55% kepentingan dalam Sedania Innovator.

 

Pengumuman ini membawa harga saham Sedania “terbang” sekali lagi ke paras RM1.46. Sekali lagi pelabur dan pedagang saham “berpesta” meraikan kenaikan harga saham Sedania. Bayangkan dalam masa 10 hari sahaja saham Sedania mencatatkan harga dari 31 sen sesaham ke paras tinggi RM1.46 sesaham.

 

 Apa yang Jakel mahu?

Jakel melihat peluang menjadi pemegang saham utama dalam Sedania adalah satu peluang pelaburan yang baik. Kenapa Jakel pilih Sedania?

 

Ada 2 pekara yang boleh dijadikan asas pelaburan bagi Jakel. Pertama, pastinya akibat pandemik jualan jakel melalui cabang perniagaan utamanya iaitu teksil terjejas. Tambahan pula, teksil bukan dikategori sebagai industri “essential” sepanjang pandemik ini yang mana pastinya memberi kesan langsung kepada jualan Jakel.

 

Dua tahun ini juga, perayaan hari raya yang disambut ala kadar oleh rakyat Malaysia pastinya menjejaskan jualan jakel. Sedania dilihat sebagai sebuah syarikat yang sememangkan “mahir” dari segi teknologi dan mengedalikan platform digital.

 

Dalam mendepani cabaran masa depan, Jakel pastinya sedang mengatur strategi untuk “mendigitalkan” perniagaannya. Platform jakelstore.com boleh dikukuhkan lagi bagi masa akan datang.

 

Kedua, Jakel melihat prospek yang besar dalam Sedania yang mana kini transformasi digital perniagaan dan syarikat melalui Ekonomi Digital Malaysia akan menajdi prospek yang besar bagi Sedania untuk mengkuhkan perkembangannya dan meraih keuntungan dalam tempoh masa panjang.

 

 

Keuntungan Melebihi 100 peratus Suku Tahun 2021 Berbanding Suku Tahun 2020

 

volatiliti
MAKLUMAT kewangan Sedania boleh diakses menerusi laman web Bursa Malaysia.

 

 

Bagi pelabur runcit, pula, boleh juga intai-intai peluang. Ini bukan seruan untuk “buy call”.

 

Walaupun harga saham Sedania masih telah berada agak tinggi pada ketika itu berbading Mei yang lalu, prestasi seperti Jualan, Keuntungan Operasi, Keuntungan Sebelum Kadar Faedah, Keuntungan Sebelum Cukai dan Keuntungan Bersih syarikat yang kesemuanya mencatatkan melebihi 100% suku tahun 2021 berbanding suku tahun 2020.

 

Dari segi fundamental, Sedania dilihat mampu untuk mencatatkan prestasi yang baik dalam tempoh masa panjang berikutan prospek perniagaan yang baik. - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

      KOLEKSI VOLATILITI

 

 

 

 

 

Portfolio Tags