Skip to main content

ESG akan kekal, syarikat abaikan ESG tidak akan kekal

Firma penyelidikan telah pun memperkenalkan penarafan bintang ESG yang sejajar dengan skor ESG pemain industri.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PADA 4 Mac 2022, firma AmInvest menerbitkan laporan kajiannya terhadap  V.S Industry Berhad, sebuah syarikat Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) bersepadu.

 

Kisahnya berkisar langkah VS menamatkan hubungan kerja dengan aktivis hak buruh Andy Hall dan pihak pengurusan telah mengadakan taklimat penganalisis untuk menangani kebimbangan komuniti pelaburan.

 

Perkara-perkara yang dirumuskan itu ialah:

  • Pelantikan PwC Consulting Associates (M) Sdn Bhd (PwC) oleh VS akhirnya berdasarkan kepercayaan kumpulan bahawa dapatan daripada audit kelak, dengan nama yang lebih bereputasi akan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
     
  • Proses audit akan dijalankan sepenuhnya oleh PwC, di mana kumpulan itu mempunyai kepercayaan yang benar dan adil. Butiran metodologi dan penilaian audit tidak akan dikongsi tanpa kebenaran daripada PwC dan lembaga pengarah VSI memandangkan materialiti dan kerahsiaan maklumat tersebut. Sebagai ringkasan, semakan akan berdasarkan 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
     
  • Pengauditan itu dijangka siap dalam 3-4 bulan mengikut anggaran PwC yang sepatutnya memastikan semakan yang komprehensif dan meluas. Pengauditan akan dilanjutkan melangkaui pekerja asing, meliputi seluruh tenaga kerjanya.
     
  • Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, VS berkata bahawa PwC telah memulakan kajian semula amalan buruhnya pada 3 Mac 2022.
     
  • VS telah secara aktif mengemas kini kemajuan penilaian kepada pelanggan utamanya, yang tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap pelantikan PwC sebagai penyemak bebas.
     
  • Pihak pengurusan tidak menjangka penarikan balik penglibatan Andy Hall akan memberi sebarang kesan material kepada operasi perniagaannya.

 

AmInvest menyatakan ia kekal optimistik terhadap komitmen kumpulan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan piawaian ESG yang lebih baik, terutamanya dalam meningkatkan kebajikan pekerja.

 

VS INDUSTRY

 

''Ingatlah bahawa VSI juga telah memperuntukkan RM30 juta untuk sebuah asrama baharu dengan pembinaan dijadualkan siap menjelang Jun 2022 untuk meningkatkan keadaan hidup pekerjanya.

 

''Oleh yang demikian, kami melihat risiko ESG penurunan yang terhad memandangkan usaha berterusan kumpulan untuk membetulkan sebarang kekurangan,’’ kata AmInvest.

 

Bukan masalah eksklusif VS

Permasalahan yang dihadapi oleh VS, merupakan satu isu yang kian membelenggu syarikat-syarikat negara ini, yang didakwa tidak mematuhi ESG atau kod amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

 

Walaupun VS tergolong dalam industri elektronik dan kebanyakan syarikat negara yang berdepan sekatan majoritinya ialah sektor pembuatan sarung tangan getah dan minyak sawit, jelas sesuatu yang komprehensif perlu dilakukan oleh pihak berkuasa mengenainya.

 

Selama ini, memang wujud minat belian yang besar dalam kaunter perladangan daripada dana asing.

 

Ramai pemerhati pasaran berpendapat bahawa pelabur yang peduli perihal ESG ini  telah pun menzahirkan kebimbangan mereka semasa membuat keputusan pelaburan mereka.

 

merrepak

 

Apabila melihat penelitian yang tinggi diberikan terhadap sektor ini terutama yang berpunca daripada serangan serentak berkaitan eksploitasi buruh paksa dan pemusnahan alam sekitar, menjadi amalan biasa bagi penganalisis dan pelabur untuk mengenakan diskaun ESG di antara 15% hingga 35% apabila membuat penilaian saham perladangan mereka.

 

Sejak kebelakangan ini juga, firma penyelidikan telah pun memperkenalkan penarafan bintang ESG yang sejajar dengan skor ESG pemain industri.

 

Dalam bahasa mudah, sekiranya pelabur asing menjual saham-saham perladangan  mereka, penilaian mungkin akan merudum lebih teruk.

 

Diyakini bahawa ESG akan tetap menjadi faktor pelembab yang memberi kesan kepada penilaian jangka sederhana, sekurang-kurangnya sehingga segelintir pemain utama dapat menyelesaikan isu berkaitan buruh paksa.

 

Abaikan ESG, ucapkan Bye Bye

Inilah apa yang ditekankan oleh Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Sidang Kemuncak Korporat ESG, bertemakan “Memacu Kelestarian dan Transformasi Mampan pada 17 Februari 2022.

 

‘’Syarikat yang memilih untuk mengabaikan pertimbangan kemampanan ESG dalam perniagaan mereka tidak akan mampan kerana mereka akan kehilangan kedua-dua pembiayaan ekuiti dan hutang untuk membiayai projek mereka.

 

‘’Syarikat-syarikat ini perlu membayar premium insurans yang lebih tinggi untuk menaja jamin sebahagian daripada risiko mereka dan akan menghadapi kesukaran untuk merekrut bakat untuk memacu perniagaan mereka.

 

“Mereka tidak akan dapat menjual produk mereka atau menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global kerana pelanggan menjadi lebih arif dalam membeli hanya produk mampan pada masa hadapan,” katanya.

 

Tan Sri Abdul Wahid Omar
                                   Tan Sri Abdul Wahid Omar

 

Kian ramai pelabur kini mempertimbangkan faktor bukan kewangan terutamanya ESG sebagai sebahagian daripada proses analisis mereka untuk mengenal pasti risiko ketara dan peluang pertumbuhan.

 

Sesetengah syarikat awam tersenarai berselindung di sebalik persepsi namun, malang sekali kerana persepsi ini membentuk realiti. Syarikat awam tersenarai perlu bekerja lebih keras untuk menangkis persepsi tersebut bagi embolehkan realiti menjalankan peranannya.

 

Tidak mandatori tetapi tetap kena patuh ESG

Walaupun metrik ESG bukanlah sebahagian daripada pelaporan kewangan yang mandatori, namun semakin banyak syarikat melakukan penzahiran dalam laporan tahunan mereka atau dalam laporan kelestarian yang berasingan.

 

Pelbagai institusi seperti Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian (SASB), Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan Pasukan Petugas Khas Mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) sedang berusaha membentuk piawaian dan menentukan material untuk memudahkan penggabungan faktor-faktor ini ke dalam proses pelaburan.

 

Selaras dengan peningkatan dalam permintaan terhadap pelaburan ESG, muncul beberapa trend utama seperti perubahan iklim, keadaan tempat kerja yang tidak sesuai, standard tadbir urus yang merangkumi kepemimpinan syarikat, gaji eksekutif, audit, kawalan dalaman dan hak pemegang saham.

 

ESG akan kekal. Syarikat yang mengabaikan ESG tidak akan kekal. Matematik mudah. – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu I Don't Want To Talk About It oleh Rod Stewart berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.