(EKSKLUSIF) Azizan Osman tidak tolak kemungkinan tambah saham di dalam MPay | DagangNews Skip to main content

(EKSKLUSIF) Azizan Osman tidak tolak kemungkinan tambah saham di dalam MPay

Mentor usahawan Datuk Wira Dr. Azizan Osman
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Mac – Mentor usahawan Datuk Wira Dr. Azizan Osman tidak menolak kemungkinan beliau bakal menambah lagi pegangan sahamnya di dalam syarikat Managepay System Berhad (MPay).

 

''Memang ada dalam perancangan tetapi kita akan umumkan bila tiba masanya nanti,’’ kata beliau kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

Azizan kini memiliki 10.58% ekuiti MPay sekali gus menjadikannya pemegang saham utama syarikat, termasuk isteri beliau, Datin Wira Hasdiana Ahmad yang memegang saham MPay secara tidak langsung sebanyak 5.35%.

 

Saham terbesar MPay dipegang oleh Datuk Chew Chee Seng selaku Pengarah Urusan dan CEO MPay dengan 21.13% kepentingan.

 

Pelaburan beliau dilakukan menerusi syarikat miliknya, RichWorks International Capital Holdings Sdn. Bhd. (RiCH), sayap pelaburan kepada RichWorks International Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan mentor usahawan dan pemasaran.

 

Kemunculan Azizan secara langsung di dalam dunia korporat pada Julai 2021, menarik perhatian pelabur dan pedagang saham yang melihatnya sebagai perkembangan positif kerana pengaruh besar Azizan.

 

Sejak 14 tahun berada di dalam industri, RichWorks berjaya membimbing perniagaan dan jenama dalam pelbagai industri merangkumi fesyen, kosmetik, kecantikan, kesihatan, pendidikan, minuman & makanan dan banyak lagi.

 

Ditanya mengapa beliau belum menduduki kerusi Lembaga Pengarah MPay, Azizan berkata, beliau mahu mengambil masa untuk mendalami lebih lagi hal ehwal dunia korporat.

 

 

azizanosman
Dr Azizan Osman akan mengikuti program Executive MBA di IMD Business School di Lausanne, Switzerland

 


Menurut Azizan, apa yang paling mustahak ialah bagaimana seseorang itu bila menduduki kerusi lembaga pengarah boleh membawa tambah nilai kepada syarikat, termasuk daripada menentukan fokus dan strategi yang betul.

 

''Sememangnya Datuk Chew sudah menjemput saya menyertai Lembaga Pengarah awal-awal lagi tetapi saya tangguhkan dulu.

 

''Saya mahu persiapkan diri sendiri termasuk menambah ilmu dengan mengikuti program Executive MBA tidak lama lagi dengan mengikuti kursus perniagaan di IMD Business School di Lausanne, Switzerland,’’ jelasnya.

 

Kepada satu soalan, Azizan mengakui pihaknya yang menghubungi MPay untuk tujuan pelaburan kerana keyakinan terhadap prospek syarikat tersebut, lebih-lebih lagi dalam sektor Teknologi Kewangan (Fintech).

 

MPay telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital ke Bank Negara Malaysia (BNM) melalui anak syarikat milik penuh mereka, ManagePay Services Sdn Bhd (MPSB) bersama-sama tiga rakan strategik iaitu Trustgate Berhad, Crescent Capital Sdn. Bhd. dan RichWorks International Sdn. Bhd.

 

MPay positif tentang permohonan yang dibuat dan pembentukan kerjasama dengan rakan strategik yang merupakan entiti dikawal penuh oleh Bumiputra dan telah menunjukkan minat untuk melabur ke dalam ekuiti MPSB apabila permohonan ini berjaya dan tertakluk kepada kelulusan pihak BNM.

 

Bank Negara yang menerima 29 permohonan lesen bank digital dijangka mengumumkan keputusan lima penerima lesen, bila-bila masa bulan ini.

 

Selain itu, pada Januari lalu MPay telah menerima kelulusan sebagai penyedia perkhidmatan platform perisian untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) secara kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi JomPAY, perbankan internet dan mobil, Visa dan MasterCard, e-dompet dan saluran-saluran pembayaran lain.

 

Platform pintar MBPP itu juga berperanan sebagai ‘Pusat Pintar Sehenti’ menggabungkan kemudahan dan perkhidmatan lain ke dalam aplikasi telegon dan laman web responsif.

 

''Perkembangan fintech seumpamanya meyakinkan saya untuk melabur di dalam MPay,’’ kata beliau.

 

 

azizanosman
Dr Azizan Osman mengendalikan sesi mentor kepada ahli-ahli perniagaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022. 

 

 

Azizan merupakan Jurulatih Bertauliah bagi Perniagaan, Pemasaran dan Kepimpinan, Mentor dan Strategis, Penulis Buku Bersiri Keusahawanan Paling Laris. 

 

Beliau adalah seorang World Class Business Educator dan Asia's No.1 Business, Marketing & Leadership Coach terkenal dengan keupayaan uniknya untuk membimbing anak muridnya menerusi syarikat yang diasaskannya, RichWorks International Sdn Bhd sehingga mendapat peningkatan luar biasa dalam perniagaan.

 

Beribu-ribu pemilik perniagaan dan usahawan telah berjaya menerusi strategi dan metodologi kejayaannya yang telah terbukti untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka dari sifar hingga mencecah jualan jutaan ringgit. – DagangNews.com