E-Pemasaran: Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 24 October 2020

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

 

 

KESEMPITAN kewangan yang berlaku hari ini bukan salah kita. Bukan salah sesiapa. Kita tidak perlu membuang masa menuding jari ke sana-sini kerana ia tidak akan mendatangkan apa jua hasil. Sebaliknya, lebih baik kita tumpukan tenaga dan kreativiti kita yang ada ini untuk memikirkan cara bagaimana hendak memberitahu orang lain tentang produk yang kita ada, bagaimana untuk meyakinkan mereka tentang kebaikan produk ini dan bagaimana untuk membuatkan mereka membeli.

 

Demi kesinambungan hidup kita dan keluarga, kita kena kental. Ini penting. Jom kita tengok beberapa idea pemasaran kreatif yang boleh kita gunakan bersama-sama untuk menaikkan kembali bisnes yang ada. Rileks, masih ada cara yang boleh kita gunakan untuk memasarkan produk anda walaupun sesempit mana pun situasi kewangan anda.

Guna taktik ini selama dua bulan berturut-turut atau lebih dan lihat hasilnya.

 

Perkhidmatan direktori 
Anda ingatkan lagi Yellow Pages atau PanPages? Ya, betul, jenama-jenama ini sangat popular pada zaman 1980an dan 1990an dahulu. Maklumlah, semua senarai individu dan bisnes yang mempunyai nombor telefon yang berdaftar dengan Telekom Malaysia akan wujud dalam buku kuning yang tebal yang dikeluarkan setahun sekali itu. Ramai sebenarnya yang tidak perasan tentang hal ini tetapi direktori-direktori dalam talian masih lagi wujud dan jangan tidak percaya, taktik ini sangat berkesan.

 

aaa

 

Cuma mereka kini berada di dalam talian. Ketika saya menjalankan bisnes membaiki komputer secara separuh masa dahulu, hampir 100% pelanggan saya mengetahui perkhidmatan saya melalui senarai direktori ini. Saya senaraikan khidmat membaiki komputer saya di kesemua direktori percuma yang wujud di internet. Mengapa ia masih lagi berkesan? Ia kerana mereka juga mempunyai strategi SEO mereka sendiri dan kita mengambil kesempatan atas kekuatan SEO mereka di internet untuk dijumpai. Sekarang, anda perlu ke enjin pencarian Google dan taip Free Online Directories In Malaysia. Kemudian pilih direktori mana yang sesuai dengan anda. Itu sahaja.


 

Menulis di laman web popular
Saya tidak suka mencadangkan agar anda membina laman web atau blog sendiri kerana bagi saya untuk menaikkan kedudukan ranking di enjin pencarian agar mudah dijumpai oleh orang lain sangat sukar dan mengambil masa. Silap haribulan, kena keluar duit lagi untuk membeli domain, hosting dan juga tema untuk Wordpress atau Wix yang anda ingin gunakan.

 

aaa

 

Saya lebih suka mencadangkan agar anda menulis atau menyediakan kandungan seperti video, infografik dan podcast dan paparkan di laman-laman blog yang sedia ada yang sudah lama wujud dan mempunyai pengikut mereka sendiri. Jika anda menggunakan strategi ini, pastikan anda menulis beberapa perenggan ayat untuk dijadikan pengenalan kepada video, infografik ataupun podcast anda. Dan ada perkataan-perkataan yang anda harus gunakan yang boleh diklik oleh pembaca yang kemudiannya apabila diklik akan membawa mereka ke media sosial anda atau ke WhatsApp anda. Selain kekuatan ranking di Google, pemilik blog itu juga mesti akan kongsikan artikel anda itu di media sosial mereka.


 

Minta bantuan 20 rakan baik di media sosial 
Perkara terakhir yang anda patut lakukan ialah menggunakan laman bisnes di media sosial kemudian memuat naik berpuluh-puluh status sehari tentang produk anda dan kemudiannya mengharapkan agar orang lain akan nampak status anda tadi. Ini kerja sia-sia. Anda tahu media sosial adalah platform yang mahal, mereka mahu anda membayar mereka untuk mereka bukakan laluan orang lain untuk datang ke laman bisnes anda.


 

aaa

 

Algoritma yang ada terlalu ketat di sana untuk anda longgarkan kecuali dengan duit. Cara yang lebih baik ialah dengan menggunakan rakan-rakan anda yang sentiasa aktif di media sosial di sebelah personal. Di sebelah personal, algoritma yang wujud di sana lebih longgar kerana mereka menitik beratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga, saudara, rakan, teman pejabat dan sebagainya. Apa sahaja yang anda muat naik di media sosial peribadi anda, pasti akan dapat dilihat oleh rakan-rakan anda. Sebab itu juga kadar engagement di sana tinggi. Minta bantuan rakan-rakan baik anda yang agak popular untuk memuat naik satu atau dua status seminggu yang berkaitan dengan produk anda selama 2 atau 3 bulan dan lihat hasilnya.


 

Urus niaga barter 
Memandangkan anda tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk membayar rakan-rakan baik anda tadi, tawarkan produk anda kepada mereka dengan percuma atau dengan harga diskaun. Sekurang-kurangnya anda tidak meminta bantuan dengan tangan kosong.

Selain daripada kawan-kawan tadi, anda juga boleh tawarkan kepada individu-individu lain yang popular di media sosial untuk anda taja mereka dengan produk anda. Dengan syarat, mereka harus membantu memuatnaik status tentang produk anda di media sosial mereka sebagai membalas tajaan anda itu tadi.


 

Pemasaran melalui e-mel.
Anda tentu mempunyai simpanan kad-kad bisnes di rumah yang berkepuk-kepuk pemberian orang lain bukan? Masukkan kesemua nama dan alamat e-mel mereka ke dalam satu senarai. Kemudian buatkan satu karangan, yang menceritakan tentang produk anda kepada mereka.

aaa

 

Apabila penceritaan anda itu nampak menarik dan sesuai, baharu anda susun strategi untuk menghantarkan e-mel itu kepada mereka seorang demi seorang. Sebaik-baiknya jangan hantar sekaligus, ia tidak akan berhasil. Hantar satu-satu kerana anda boleh menggunakan nama mereka di dalam e-mel tadi. Apabila ayat yang anda gunakan sesuai dengan mereka dan anda pula menggunakan nama mereka dengan sendirinya mereka akan membaca dan berkemungkinan besar akan membalas e-mel anda itu.


 

Google My Business.
Google My Business pula adalah fungsi yang disediakan oleh enjin pencarian Google khusus kepada usahawan-usahawan tidak kira kecil, sederhana mahupun besar untuk meletakkan maklumat terperinci tentang syarikat anda di Google. Apabila seseorang itu ingin mencari maklumat tentang bisnes anda atau jenama yang anda ada, nama bisnes anda akan dipaparkan di Google. Cara menggunakan Google My Business ada saya ceritakan di dalam artikel saya sebelum ini.

aaa

Bagaimana anda boleh dijumpai di Google dengan menggunakan Google My Business? Selain dari itu, di Google My Business juga ada fungsi Google Map. Fungsi peta di Google sangat membantu sekiranya seseorang itu menggunakannya untuk mencari syarikat atau kedai tertentu di sekitar lokasi bisnes anda. Sebaik sahaja mereka melihat apa yang dipaparkan oleh Google, mereka bukan sahaja akan nampak nama syarikat yang dicari itu tetapi juga nama syarikat anda beserta nama-nama kedai atau syarikat lain yang berhampiran turut dipaparkan bersama pada peta tersebut.


 

Mungkin keenam-enam petua ini akan membantu anda memasarkan produk anda dengan lebih baik lagi. Yang penting, ia percuma.

 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Sabtu.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

 

 

Portfolio Tags