Duopharma Biotech catat pertumbuhan kukuh pada Q3 2021 | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech catat pertumbuhan kukuh pada Q3 2021

KUALA LUMPUR 18 Nov – Duopharma Biotech Berhad mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga dengan peningkatan 21% dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM22.48 juta, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada sektor penjagaan kesihatan pengguna dan sektor kesihatan awam.

 

Keuntungan bersih meningkat 20% pada suku tersebut kepada RM16.96 juta. Ini menghasilkan pendapatan sesaham yang lebih tinggi sebanyak 1.80 sen, berbanding 1.52 sen pada tahun sebelumnya.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih melonjak 18% dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada RM49.97 juta, berikutan peningkatan hasil sebanyak 13% berjumlah RM493.73 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, penekanan yang lebih besar oleh kerajaan kepada industri utama seperti farmaseutikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang diumumkan baru-baru ini memberi petanda baik bagi pendapatan masa depan Syarikat.

 

Beliau berkata, peningkatan peruntukan untuk penjagaan kesihatan di bawah Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini merupakan satu lagi perkembangan positif.

 

“Tidak dinafikan bahawa penjagaan kesihatan dan farmaseutikal akan terus menjadi sektor penting dalam kehidupan kita.

 

‘’Kami kekal yakin dengan prospek jangka panjang Syarikat walaupun berdepan keadaan yang mencabar pada tahun 2021,” kata Leonard Ariff dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar
Leonard Ariff Abdul Shatar

 


Beliau menambah, jangkaan bahawa ekonomi akan beransur pulih pada suku-suku akan datang apabila lebih banyak sektor perniagaan kembali beroperasi selepas berbulan di bawah perintah kawalan pergerakan, akan merangsangkan lagi sentimen dan kepenggunaan di kalangan orang ramai.

 

Pada Oktober lalu, Duopharma mula mengedar vaksin Covid-19 COVILO daripada Sinopharm, selepas ketibaan vaksin itu di Malaysia, justeru menyumbang kepada kempen vaksinasi kebangsaan.

 

Pada Julai pula, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah telah memberikan Duopharma (M) Sendirian Berhad, anak syarikat milik penuh Syarikat, pendaftaran bersyarat untuk penggunaan kecemasan bagi vaksin tersebut yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh China National Biotec Group Company Limited.

 

Pengedaran vaksin itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Duopharma Biotech bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. – DagangNews.com