DOC2US catat rekod dengan mengeluarkan 1 juta e-preskripsi | DagangNews Skip to main content

DOC2US catat rekod dengan mengeluarkan 1 juta e-preskripsi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Penyedia kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DOC2US  berjaya mencatat rekod baharu dengan mengeluarkan sejuta preskripsi elektronik (e-preskripsi) sejak penubuhannya pada 2017. 

 

Pengeluaran e-preskripsi itu adalah selaras dengan Akta Racun 1952.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US, Dr. Raymond Choy berkata, ketika penubuhannya firma itu hanya mengeluarkan sekitar 495 e-preskripsi. 

 

Beliau berkata, penyelesaian farmasi pintar DOC2US atau e-preskripsi mula mencatatkan perkembangan sejak kemunculan pandemik COVID-19 pada 2019 selain Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.

 

Katanya, perkhidmatan e-preskripsi firma itu telah menyediakan perkhidmatan pengeluaran ubat secara digital yang berkualiti dan cekap kepada hampir 2,000 pelanggan korporat dan lebih 1,500 cawangan farmasi rakan kongsi yang sah.

 

Lebih 3,000 cawangan farmasi di seluruh Malaysia dengan satu daripada setiap tiga cawangan kini menggunakan penyelesaian digital DOC2US.

 

“Industri teknologi penjagaan kesihatan Malaysia mempunyai banyak tawaran dan berpotensi menjadi antara yang terbaik di rantau ini.

 

“Kami mampu memberikan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutama dalam menyokong pelancongan kesihatan selaras dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

“Memandangkan kebanyakan platform penjagaan kesihatan digital berasaskan awan dan dibina di atas rangka kerja berskala yang boleh digunakan dengan mudah di pasaran luar Malaysia, sektor penjagaan kesihatan digital berpotensi menjadi pemacu ekonomi utama Malaysia berdasarkan inisiatif yang betul,” katanya. - DagangNews.com