Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 10 September 2020

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City

 

Pada Jun 2000 adalah permulaan untuk saya bekerja di Dubai Internet City. Setelah bekerja di Kingdom Holdings, Riyadh, Arab Saudi selama enam bulan. Kerja sebagai konsultan untuk Sistem Pengurusan Pelanggan secara kontrak dan akhirnya ditawarkan kerja tetap. Kerja bidang teknologi maklumat untuk menggantikan sistem pengurusan pelanggan yang lama dengan sistem yang baru.

Saya mengambil peluang untuk bekerja lebih memberansangkan dan dinamik di Dubai sebab projek itu adalah di bawah Tengku Mahkota Dubai, Sheikh Mohammad.

Sebenarnya tidak banyak yang saya tahu mengenai Dubai yang pertama kali saya dengar. Tidak banyak yang saya tahu.

Waktu saya tercari-cari Dubai melalui internet di syarikat PrimeNet dibawah Kingdom Holdings, kepunyaan Putera Al Waleed bin Talal. Saya duduk seorang di Riyadh dengan meninggalkan isteri dan anak-anak di Malaysia untuk sementara waktu. Saya bercadang untuk membawa mereka ke Riyadh.

Apabila CEO Dubai Internet City, Hamed Kazim menelefon, saya terperanjat. Hamed telah membaca artikel saya dalam majalah dalam talian di Timur Tengah waktu itu, ‘Learning from Malaysia’s Mistakes’.

Artikel itu saya tulis mengenai Koridor Raya Multimedia (MSC) yang pada pandangan peribadi saya telah melakukan kesilapan. Sebagai ketua pengelola MSC bagi pihak TV3, saya menulis kertas cadangan sebanyak tiga kali ke Multimedia Development Corporation (MDC).

Kali pertama ditolak, kali kedua ditolak, kali ketiga terus ditolak oleh eksekutif-eksekutif MDC yang kurang faham apa yang TV3 mahu lakukan. TV3 mahu menjadi sebuah pusat penyiaran dalam digital untuk kompleks penyiaran pertama di Malaysia.

Saya membuat pembentangan sebanyak tiga kali kepada eksekutif-eksekutif berlainan di MDC. Mereka adalah orang muda yang baru balik dari luar negara. Menerangkan apa yang TV3 mahu lakukan dengan sistematik. Masih mereka kurang mengerti sebab mereka bukan dari penyiaran, sekadar dari teknologi maklumat.

Apalah yang mereka tahu?

TV3 akan menjadi pusat penyiaran digital dengan infrastruktur, peralatan, kelengkapan dan studio-studio yang canggih. Saya turut memberikan reka bentuk dari designer TV3 dalam presentation.

Kali ketiga ditolak.

Saya terbungkam kerana keletihan menyiapkan presentation.

Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk mencapai matlamat. Saya berhenti terus kerana eksekutif-eksekutif MDC enggan menerima alasan dan sebab yang saya berikan. Berfikir tentang integrasi sistem maklumat dalam penyiaran sudah tidak dapat ditolak lagi untuk masa depan.

TV3 tidak mendapat lesen MSC dan bertaraf MSC seperti syarikat-syarikat lain walau TV3 ada nama dan besar. TV3 cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
 

msc


Satu perkara lagi MDC memaksa semua organisasi memohon MSC dengan mengisi borang termasuk syarikat-syarikat yang besar seperti Microsoft, Oracle dan HP. Ini adalah keterlaluan, syarikat-syarikat ini tidak perlu MSC. MSC yang perlukan mereka.

Saya menulis syarikat-syarikat seperti Microsoft perlu dilayan dengan baik. Microsoft misalnya perlu diberi MSC tanpa perlu memohon kerana Microsoft adalah syarikat global dan dibina bangunan untuknya.

Ada beberapa lagi yang saya tulis dalam artikel. Saya geram dengan MDC kerana permohonan TV3 ditolak.

Hamed Kazim yang membaca artikel itu terus berkata kepada saya, “Mahukah kamu bekerja di Dubai Internet City?”

Soalan yang mengejutkan. Saya tidak pernah dengar Dubai Internet City dan kota Dubai.

Namun saya segera menjawab, “Ya! Saya mahu join!”

Saya tidak pasti kenapa saya kata begitu, mungkin takdir Tuhan. Berdebar juga. Bermacam persoalan di minda.

Begitulah dialog ditelefon yang mudah dan ringkas. Tanpa bercakap panjang dan Hamed Kazim menyerahkan saya kepada setiausahanya untuk tindakan lanjut. Segala butiran diberikan dan saya diajak ke Dubai untuk temuduga dengan Hamed. Tiket dibayar dan hotel diberi. Untuk seminggu.

Saya mencari siapa Hamed melalui Internet. Dia adalah pengarah urusan Arthur Andersen yang dipinjamkan ke Dubai Internet City. Hamed adalah seorang daripada penasihat Tengku Mahkota Dubai masa itu, Sheikh Mohammad Al Maktoum.

Hamed merupakan orang besar Dubai. Dan Hamed menelefon saya di Riyadh? Sungguh bertuah menerima panggilan telefon itu.

Sebenarnya nombor telefon saya diberi oleh seseorang yang mempunyai syarikat teknologi maklumat yang besar di Dubai, Mehboob. Saya mulanya meminta kerja yang diiklankan oleh syarikat Mehboob dan Mehboob menelefon saya sebab saya mempunyai pengalaman dengan MSC. Mehboob berjanji untuk memberikan pada Hamed yang juga kawannya.

Dubai Internet City adalah berkonsep sama dengan MSC. Sebanyak AS$800 juta telah disediakan.
 

dub


Saya sebenarnya di TV3 dipinjamkan ke Mega TV dengan jawatan Pengarah Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Malaysia Timur (Sabah dan Serawak).

Setelah itu ada peralihan kuasa di mana Anwar Ibrahim dibuang dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga TV3, pengurusan telah bertukar dimana saya diletakkan di dalam ‘cold storage’ beberapa bulan sebelum dibuang kerja pada 31 Disember 1999.

Lantas saya beritahu kepada bos PrimeNet, anak syarikat Kingdom Holdings yang menawarkan kerja di Riyadh. Beliau terkejut saya mendapat tawaran terus daripada CEO Dubai Internet City. Bukan lagi terpaksa melalui pelbagai orang tengah dan CEO Dubai Internet City seolah-olah kenal saya. Satu tawaran terus yang tidak pernah saya mimpikan.

Beliau mengucapkan tahniah dan berkata, “Kami semua mengharapkan loncatan di Dubai Internet City, sebuah projek mega yang dinanti-nantikan oleh semua orang.”

Saya segera menyiapkan diri untuk pergi ke Dubai dan balik ke Malaysia. Saya duduk di hotel sejak Januari 2000. Dan menelefon isteri dengan berita gembira.

Itulah permulaan yang saya tidak lupakan!

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. Mulai hari ini, Wainuiomata ini akan menjadi kolum tetap DagangNews.com setiap Khamis. - Pengarang

 

 

Portfolio Tags