Digital Nasional Berhad menghitung hari ditamatkan? | DagangNews Skip to main content

Digital Nasional Berhad menghitung hari ditamatkan?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

KETIKA mula diumumkan entiti khas bagi mengendalikan spektrum telekomunikasi 5G yang kemudiannya dinamakan Digital Nasional Berhad (DNB), sememangnya ia mencetuskan tanda-tanya terutama daripada aspek monopoli.

 

Namun rasional yang dibentangkan oleh kerajaan ketika itu ialah menjamin perkhidmatan 5G menjadi lebih murah berbanding 4G, maka ramai bersedia mengenepikan kejelekan monopoli demi memastikan langkah ala-1980an ini benar-benar mengutamakan rakyat, iaitu kita semua!

 

Sentimen saya mudah. Monopoli tidak boleh wujud lagi di zaman pasaran bebas digital hari ini. Monopoli sudah jadi amalan ketika dasar penswastaan negara dimulakan pada 1980-an.

 

Kita akan boleh menerima rasional untuk kewujudan monopoli dalam sektor tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad dengan pemegang sahamnya adalah kerajaan yang akan memastikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat, walau bagaimana teruk TNB berdepan dengan kos bahan bakar.

 

Keputusan monopoli ketika itu termasuk di dalam definisi affirmative action. Dalam bahasa mudah, kerajaan buat keputusan, ikut sahajalah. Tetapi itu dasar 40 tahun dulu.

 

Jadi bila hari ini pada abad ke-21, affirmative action sekali lagi dilaksanakan untuk mengembalikan monopoli, lebih-lebih lagi berkaitan prasarana rakyat seperti telekomuniksi – kita mahu bukti nyata tanpa ragu-ragu bahawa affirmative action itu tidak menguntungkan satu pihak sahaja dan betul-betul memanfaatkan rakyat.


 

merrepak

 


Dan inilah sebabnya seminggu ini heboh, riuh dan kecoh perihal Digital Nasional Berhad ini, sehingga mendorong Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menulis panjang lebar, disusuli bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

BERITA BERKAITAN 13 DIS 2021: Mohamad Hassan sifatkan model pembiayaan DNB sebagai `janggal'

 

Secara objektif kita bentangkan di sini dalam bahasa yang mudah anda faham mengenai isu positif dan negatif DNB seperti berikut:

 

Isu negatif

  1. Kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam pengendalian spektrum 5G dan biarkan industri telekomunikasi mengendalikannya, seperti spektrum-spektrum sebelum ini.


    Peranan kerajaan ialah menyediakan dasar dan menguatkuasakannya. Bukan tubuhkan syarikat lagi dan lagi dan lagi.

 

  1. Walaubagaimana tegas kerajaan mahu menetapkan kadar yang rendah, syarikat telekomunikasi (yang hampir kesemua ada pelabur asing di dalamnya) tidak akan menyukainya sama ada dari segi tunduk menerima kerugian atau menganggap DNB tiada kepakaran.

 

  1. Oleh kerana DNB adalah sebuah syarikat milik kerajaan iaitu di bawah Kementerian Kewangan, wujud kebimbangan berkaitan isu ketelusan dan kepatuhan daripada segi penyata kewangan, kesaksamaan penetapan harga, kualiti perkhidmatan dan lain-lain. Syarikat biasa yang lain kena patuh peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

 

  1. Kaedah DNB melantik vendor tunggal di bawah skim pembiayaan vendor, dibimbangi mengakibatkan masalah di masa hadapan. Bergantung harap hanya pada satu vendor untuk menyediakan lebar jalur (bandwidth), keupayaan, peta jalan teknologi dan sebagainya tanpa alternatif.

 

  1. Keadaan lebih menyulitkan bagi DNB bila kerajaan berubah. DNB diwujudkan dibawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

 

merrepak


 

  1. Sesudah beliau berundur, kini  tiba-tiba Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin `mendedahkan’ bahawa pelantikan DNB dibuat tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

 

  1. Keadaan menjadi pening bila Tengku Zafrul cuba memperbetulkan keadaan dan menjelaskan penubuhan DNB telah diatur sejak 2019 dengan penglibatan sama KKMM.

    “Saya juga sentiasa berbincang dengan Menteri KKMM, dahulu dan sekarang dan saya akan terus bekerjasama rapat dengan Menteri KKMM untuk kesejahteraan ekonomi digital negara kita.

    “Banyak kenyataan tidak tepat yang dilaporkan oleh beberapa media mengenai isu ini jadi saya ingin memberi pencerahan agar tidak timbul kekeliruan lagi mengenai perkara ini,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook, pada 10 Disember 2021.

 

         Media juga kena dipersalahkan.

 

  1. Masalahnya sekarang, kenyataan Zahidi terus bergema di minda semua orang. Begitu juga kenyataan Tan Sri Annuar Musa pada 7 Disember lalu, bahawa kerajaan bakal mengkaji semula model DNB – juga menimbulkan tanda-tanya rakyat, walaupun mungkin syarikat telekomunikasi lain tersenyum puas.


 

merrepak

 


Penjelasan Muhyiddin

  1. Petang 11 Disember 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi kenyataan berkaitan isu DNB ini dan meminta kerajaan agar tidak membatalkan model DNB ini kerana faktor-faktor berikut:
     

a. DNB tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak SKMM bagi memastikan rangkaian 5G dapat dibangunkan dengan cepat pada kos yang lebih rendah, akses kepada kapasiti dan rangkaian diberikan kepada semua syarikat telekomunikasi secara terbuka dan adil, dan isu persaingan dan harga borong perkhidmatan yang disediakan oleh DNB dapat dikawal.

b. DNB telah melaksanakan tender melalui Request for Proposal (RFP) bagi Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G pada 7 April 2021 dan selesai pada 1 Julai 2021. Penilaian tender yang dijalankan meliputi aspek teknikal, komersial dan sosio ekonomi. Berdasarkan penilaian tersebut, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) telah dilantik sebagai penyedia perkakasan rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP). Proses tender ini juga dijalankan setelah mengadakan perundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek mereka bentuk rangkaian.

c. Kos pelaksanaan rangkaian 5G akan dibiayai sepenuhnya oleh DNB melalui hasil jualan yang dijana di samping gabungan pembiayaan tertunda serta pembiayaan perdagangan dan modal kerja.

d. Kepentingan kontraktor Bumiputera akan diutamakan di dalam projek 5G melalui DNB. Ini adalah kerana salah satu syarat projek 5G ialah keperluan untuk memanfaatkan lebih 60% kontraktor Bumiputera dan kontraktor dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

merrepak


 

  1.  Pengenalan DNB adalah kerana mengambil kira fakta yang kita semua tahu iaitu perkhidmatan 4G tidak dinikmati oleh kebanyakan penduduk luar bandar.

 

  1. Semasa berkhidmat di Sarawak awal tahun ini, saya menerima laporan mengenai wujud banyak menara telekom tetapi hendak mendapatkan talian telefon pun azab. Ini belum cerita capaian internet lagi. Bila diselidik, kawasan-kawasan tersebut tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi.

 

  1. Fakta yang tidak boleh disangkal lagi ialah syarikat telekomunikasi tidak peduli pun pasal sentimen rakyat yang bila marah, akan menyebabkan kehilangan undi kepada pemerintah.

 

  1. Kerajaan terpaksa pula menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan luar bandar, di mana syarikat telekomunikasi yang lazimnya dipacu keuntungan komersial, gagal menyediakan liputan.

 

  1. Tahukah anda bahawa syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2%.

 

  1. Jadi untuk spektrum 5G, saudara mara kita di kampung dan desa-desa kena tunggu 2028?


 

merrepak

 


Akhirul Kalam

Jadi apa sebenarnya pendirian yang hendak kita ambil? Al-kisah affirmative action dengan menubuhkan DNB ini sudah berjalan pun operasinya. Dah berjuta ringgit juga keluar dana untuk membuat penerangan kepada orang awam.

 

Masalah yang nyata ialah industri telekomunikasi sendiri tidak mahu menerima DNB. Dalam banyak keadaan, biasanya industri akan akur kepada pemerintah. Betul?

 

Jadi bila tiba-tiba KKMM kata hendak semak balik keberadaan DNB, pun pemerintah punya kelebihan.

 

Tetapi atas dasar ketelusan juga, beritahulah kita rakyat ini apa sebenar-benar punca KKMM seolah-olah berpatah arang dengan Kementerian Kewangan sekarang?

 

Itu sahaja. Hal-hal lain kita merrepak lain hari.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu A View To A Kill oleh Duran Duran berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.