KUALA LUMPUR 4 Jun – Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026) yang bakal berlangsung akhir bulan ini menawarkan lebih 300 teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk dikomersialkan yang menjadi pemangkin utama pembangunan industri sawit negara.
Penganjuran program oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu adalah inisiatif untuk terus memperkukuh agenda pemerkasaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Program tahunan itu akan berlangsung di Ibu Pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi dengan sasaran penyertaan penggiat industri, usahawan tempatan serta agensi kerajaan bagi memperluas pengkomersialan teknologi dan inovasi sawit.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, TOT MPOB bukan sekadar platform perkongsian teknologi, tetapi berperanan sebagai “game changer” kepada usahawan PMKS untuk melonjakkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau, program ini membuka akses kepada teknologi terkini dan inovasi baharu yang membolehkan usahawan menjana pendapatan lebih tinggi melalui penghasilan produk bernilai tambah yang berpotensi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sehingga kini, pengkomersialan pelbagai teknologi MPOB di sepanjang rantaian industri telah menjana potensi pasaran bernilai lebih RM6.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PMKS merangkumi 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, melibatkan lebih 1.2 juta usahawan, menjadikan sektor ini sebagai tulang belakang penting ekonomi negara.
“Sehubungan itu, TOT MPOB 2026 dirangka secara strategik bagi memperkukuh daya saing industri sawit negara melalui penglibatan aktif PMKS dalam aktiviti pengkomersialan teknologi dan inovasi.
“Program ini menawarkan lebih 300 teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang sedia untuk dikomersialkan oleh industri serta usahawan tempatan.
“Selain itu, program ini turut membuka peluang kerjasama awam-swasta (PPP) bagi pembangunan teknologi dan pengkomersialan produk berasaskan sawit,” katanya.
Antara tarikan utama TOT MPOB 2026 termasuk pameran teknologi dan produk inovasi sawit, sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi serta sesi konsultasi bersama pencipta teknologi.
Program ini juga menyediakan peluang pembiayaan serta sokongan pembangunan usahawan bagi membantu PMKS mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka dalam sektor sawit.
MPOB menyifatkan TOT MPOB 2026 sebagai platform strategik yang bukan sahaja memperkukuh keterjaminan makanan dan ekonomi negara, tetapi turut mempercepat transformasi industri sawit ke arah ekonomi bernilai tinggi. - DagangNews.com








