Diberi lanjutan 6 bulan lagi, Berjaya Land cuba selesaikan isu pegangan saham awam | DagangNews Skip to main content

Diberi lanjutan 6 bulan lagi, Berjaya Land cuba selesaikan isu pegangan saham awam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Berjaya Land Berhad telah diberikan lanjutan selama enam bulan sehingga 22 Mac 2022 oleh Bursa Malaysia Securities Berhad untuk ia memenuhi kriteria pegangan saham awam sebagai sebuah syarikat tersenarai. 

 

Menuru Berjaya Land, kelulusan itu dimaklumkan oleh Bursa Malaysia semalam, 22 September 2022 yang menetapkan syarikat perlu memenuhi jumlah pegangan saham awam sebanyak 20%.

 

Buat masa ini, pegangan saham awam Berjaya Land berada pada tahap 13.51%, masih berkurangan 6.49%.

 

“Pandemik COVID-19 yang berpanjangan dan langkah-langkah seterusnya termasuk sekatan perjalanan, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat serta ‘lockdown’ telah memberi impak terhadap operasi dan prestasi kewangan Kumpulan Berjaya Land. 

 

“Oleh itu, syarikat akan terus meneroka sebarang kemungkinan pilihan dan mengambil langkah bersesuaian untuk mengenal pasti pelan pembetulan yang layak dan berkesan untuk mengatasi kekurangan dalam Penyebaran Awam yang Diluluskan.

 

“Ini akan berlaku seiring situasi COVID-19 yang stabil dan penambahbaikan dalam persekitaran ekonomi,” jelas Berjaya Land kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum ini, Bursa Malaysia telah memberi tempoh lanjutan selama enam bulan kepada Berjaya Land untuk memenuhi kriteria pegangan saham awam pada kadar 20%, di mana sepatutnya berakhir semalam. 

 

Sebagai rekod, Berjaya Land merupakan anak syarikat kepada Berjaya Corporation Berhad dan salah satu kumpulan syarikat hartanah terbesar di Malaysia. 

 

Pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu, Berjaya Land menyaksikan kerugian bersihnya mengembang kepada RM126.34  juta daripada RM108.54 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Setakat 2.19 petang, harga saham Berjaya Land menyusut 0.5 sen kepada 25 sen. - DagangNews.com