Memperkasa `Tukang Cerita' pelbagai genre melalui Anugerah Storyteller Guild | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 25 March 2024

MEMPERKASA ‘TUKANG CERITA’ PELBAGAI GENRE MELALUI ANUGERAH STORYTELLER GUILD

  • Hikayat Fandom Berusaha Meningkatkan Peranan Tukang Cerita Dalam Memulihara Budaya Bercerita
  • Legenda dan Cerita Rakyat Malaysia penting demi Perpaduan dan Jati Diri Bangsa

 

 

 

ADA satu tradisi Hari Raya telah semakin menghilang hari ini. Pada tahun 1960an, 70an dan 80an, kaum keluarga dan sahabat taulan akan menonton wayang pada hari raya ke-3 atau ke-4.

 

Malah, tidak lama dahulu, malam filem P Ramlee adalah aktiviti kejiranan yang digemari oleh SEMUA rakyat Malaysia.

 

Ramai akan berkumpul di rumah yang ada televisyen untuk menonton cerita P Ramlee, baik Nujum Pak Belalang, Tiga Abdul atau Sumpahan Orang Minyak.

 

Inilah hadiah sebenar Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada kita semua – kejayaannya menyatukan masyarakat Malaysia pelbagai kaum melalui filem Komedi. Seram. Satira Sosial. Epik Klasik Melayu. Di Semenanjung. Sabah. Dan Sarawak.

 

Sebelum filem, aktiviti bercerita, dalam bentuk syair dan bercerita lisan adalah hiburan masyarakat setempat. Ini termasuk persembahan wayang kulit dan teater Makyung.

 

Ini adalah antara elemen penyatuan yang telah hilang daripada masyarakat kita hari ini. Cerita yang kita tonton, terutamanya dari luar negara, sama ada Barat, Korea, Cina dan Bollywood.

 

Walaupun kita boleh menikmati hiburan dan penceritaan antarabangsa, ia sepatutnya menjadi pelengkap, bukan pengganti 'cerita' tanahair kita.

 

 

hikayat
Tarikh tutup telah dilanjutkan ke 15 April 2024.

 

 

Storyteller Guild

Storyteller Guild adalah satu inisiatif Hikayat Fandom Folklore World untuk meraikan tukang cerita Malaysia demi mempromosi warisan legenda dan cerita rakyat yang telah lama membentuk masyarakat kita.

 

Storyteller Guild, yang disokong Think City, telah wujudkan untuk kesedaran mengenai kepentingan kisah legenda dan cerita rakyat dalam masyarakat dan meraikan tukang cerita pelbagai genre.

 

Terdapat keperluan untuk mencipta platform untuk berkongsi seni mereka dengan generasi akan datang, merancakkan imaginasi dan penghargaan terhadap seni budaya.

 

Tukang Cerita atau penglipur lara hari ini adalah mereka yang membawa kita ke satu tahap penghayatan baru sama ada di filem, drama, rencana, novel mahu pun TikTok.

 

Mereka bertanggungjawab mencorak kehidupan dan pemikiran kita tanpa kita sedari, oleh itu kepentingan Tukang Cerita tidak dapat disangkal lagi. Namun, warisan ini hampir pupus ditelan zaman.

 

Justeru, terdapat keperluan, bukan sahaja untuk memelihara, tapi memartabatkan serta mendukung warisan tukang cerita.

 

Hikayat Fandom Folklore World (HFFW) mencari penglipur lara dan tukang cerita Malaysia untuk mempromosi warisan hikayat dan cerita rakyat klasik.

 

Storyteller Guild telah ditubuhkan demi meraikan budaya ini dan membolehkan tukang cerita memupuk daya imaginasi dan membentuk penghargaan seni budaya.



 

Panel Pemilihan Storyteller Guild 2024 merangkumi wakil dari dunia Sastera, Budaya, dan Lisan Malaysia seperti antara lainnya, Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA), Malaysia Book Publishers Association (MABOPA), MBBY dan Jabatan  Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

 

Pemilihan akan berlangsung pada pertengahan bulan Mei 2024 untuk memilih pencerita yang telah menceritakan  cerita Malaysia selama beberapa dekad. 

 

Dengan sokongan Think City, kami berhasrat untuk melantik enam tukang cerita yang telah dicalonkan oleh persatuan masing-masing atau individu, ke dalam Storyteller Guild di mana setiap pemenang akan menerima penghargaan berbentuk Piala Storyteller Guild, Saguhati dan Sijil Pengiktirafan.

 

 

hikayat

 

 

Kami menyeru organisasi dan orang ramai untuk mencalonkan tukang cerita untuk diterima sebagai ahli Storyteller Guild.

Diharapkan NGO, organisasi, pembuat filem, penerbit buku dan  pencerita bebas di luar sana akan mencalonkan Tukang Cerita yang memang patut dihargai dan telah mencurahkan bakti memelihara warisan budaya yang penting.

 

Kriteria pencalonan adalah seperti berikut:

 a)     Warganegara Malaysia;

b)     Seorang penglipur seni, budaya, atau sastera yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 tahun pengalaman bidang masing-masing, dan berkongsi kepakaran, warisan dan khazanah hikayat dan cerita rakyat dengan generasi muda; dan

c)     Masih aktif mempraktikkan seni masing-masing.

 

Borang Pencalonan boleh didapati di sini.  Tarikh tutup adalah 15 April 2024. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags