Jangan cuba lenyapkan Alam Maritim Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 29 January 2024

JANGAN CUBA LENYAPKAN ALAM MARITIM MELAYU

 

 

“hai enche’ jurubatu… bolehkah hamba menumpang naik ka-geliong panjang ini? Apakah nama enche jurubatu dan siapakah yang menjadi jurumudi-nya. Apakah gerangan nama enche’ nakhoda geliong panjang ini?”

 

“Sahaya anak orang Tiku Pariaman,

jurumudi anak orang Pulau Laut,

nakhoda bernama Tuanku Datok Nakhoda Tua, juragan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa namanya…”

 

Hikayat Awang Sulong Merah Muda

 

 

 

BAGAIMANAKAH seorang pakar etnologi mengkaji ketamadunan sesuatu bangsa?

 

Mungkin kita boleh bermula dengan meneliti bahasa, cara hidup, sejarah, asal usul, adab, dan mungkin juga kisah lama dari kesusasteraan mereka.

 

Dan seorang pakar arkaeologi pula akan mengkaji tinggalan purba atau membuat kajian mendalam mengenai  sejarah sesuatu ketamadunan, mencari dan mengkaji peninggalan seni bina dan artifak lama.

 

Saya mengagumi mereka yang telah bertahun-tahun mengabdikan diri kepada sejarah.

 

Cendiakawan yang ingin memastikan anak bangsa celik sejarah dan menghargai khazanah dan warisan yang ditinggalkan nenek moyang.

 

Sejarahwan kita mesti menguatkan semangat supaya mereka yang menyerang sejarah dan warisan kita tidak sewenang-wenangnya membinasakan segala peninggalan terdahulu.

 

Sudah pasti saya bukan seorang sejarahwan.  Seorang ahli cendiakawan sejarah? Juga tidak.

 

Namun cinta pada seni dan budaya, serta mendalami cerita rakyat dan hikayat lama menjadi darah daging sekian lama.

 

Dan hikayat lama banyak memberikan kekunci kepada cara hidup masa lampau, untuk meninjau kehidupan seharian alam Melayu ratusan tahun dahulu dengan begitu jelas.

 

Semenanjung Tanah Melayu tersohor sejak Claudius Ptolemy melakar Chersonesus Aurea di petanya sekitar tahun 2 TM.

 

Bumi Semenanjung ini merupakan jambatan dari tanah besar Asia ke Kepulauan Melayu yang begitu meluas dari Segenting Kra, ke Ujong Tanah, Kepulauan Langkawi, ke Sumatera, Jawa, Borneo, Sulu, Sulawesi dan ke Filipina.

 

Perdagangan, hubungan antarabangsa malah segala pergolakan dan persahabatan antara kerajaan lama memerlukan bahtera dan kapal-kapal menyeberangi samudera dan lautan untuk hubungan dua hala.

 

Apakah ini benar, atau khayalan semata-mata?

Kepulauan Melayu adalah salah satu rantau paling unik di dunia di mana rantaian kerajaan dibina menghubungkan ribuan pulau dan kerajaan di persisiran pantai, dari Filipina ke Indonesia, Malaysia ke Borneo. 

 

Hari ini, lebih 600 juta penduduk bermastautin di rantau Maritim Asia Tenggara, sebuah wilayah yang mempunyai lebih 25,000 pulau.

Lebih seribu tahun dahulu, kerajaan Champa, Srivijaya, Majapahit, dan Langkasuka mempelopori pembentukan kerajaan maritim diikuti Pasai, Melaka, Patani dan Acheh. 

 

Sebagai tamadun maritim, orang Melayu telah mengembangkan kemahiran dalam pelayaran, perdagangan, dan keilmuan laut.

 

Alam Melayu yang kaya dengan pelabuhan, pulau, dan sumber daya alam, memberikan kesempatan bagi orang Melayu untuk menjadi pakar dalam bidang maritim.

 

Para  pelaut yang ulung, membuat pelayaran jauh menuju ke tempat-tempat seperti India, Arab, China, dan bahkan Afrika Timur. Kita lihat Hang Tuah, Enrique of Melaka atau Panglima Awang, Hang Nadim dan ramai lagi.

 

Tamadun Melayu menjadi salah satu pusat penghubung perdagangan antara timur dan barat, memperdagangkan barang seperti rempah-rempah, sutra, keramik, dan emas.

 

Kemahiran Melayu dalam pelayaran dan perdagangan ini telah membantu dalam membangun hubungan dengan tamadun lain seperti Nagapatnam, China, Uthmaniyah, dan di seluruh Asia Tenggara.

 

Oleh itu, sudah tentu budaya maritim itu budaya kita. Kita lihat saja bukti yang ditinggalkan oleh para raja dan sultan yang bijak, cerdik pandai yang sayangkan bangsa meninggalkan hikayat lama dan kitab sarat berilmu untuk kita baca dan telaah dalam bahasa jawi.

 

Hikayat: Satu daripada kunci peninggalan sejarah

Bangsa yang budayanya bergelumang di alam lautan, sudah tentu menggunakan bahasa yang kaya dengan perkataan berunsurkan laut.

 

Bahasa yang berkiaskan perkataan berunsur perkakas laut, bahaya laut, pergerakan angin dan pantai. Gelombang dan badai samudera.

 

Pengaruh tamadun Melayu dalam bidang maritim ini jelas terlihat dalam bentuk-bentuk seni, budaya, dan kesusasteraan.

 

Contohnya, seni ukir Melayu yang rumit dan detail digunakan untuk menghias perahu dan kapal-kapal Melayu. Dalam lenggok bahasa kita, terserlah perkakas laut seperti bangau, okok dan caping.

 

Kisah hikayat kita pula penuh dengan kisah berkisar pelayaran hebat.  Kitab Kanun mencerminkan betapa pentingnya kehidupan bersangkut paut dengan laut sehingga ada undang undang khas digunakan di laut.

 

Syair, sastera dan perumpamaan kita menunjukkan pemahaman jelas antara manusia dan laut.

 

Mari kita lihat dengan teliti kekunci dan rahsia yang tersimpan dalam peninggalan, bayangan dan maksud hikayat lama…

 

***

Setelah bertahun-tahun kita meneliti, menceritakan semula dan menulis semula hikayat kita dalam usaha untuk membawanya kepada generasi baru,  penyelidikan Hikayat membongkar kehidupan zaman tori di Kepulauan Melayu.

 

Dan ini tidak terhad kepada Hikayat kita, pantun, syair dan gurindam serta seni budaya seperti Makyung mendedahkan cara hidup yang sangat berhubungkait dengan laut. Contohnya, pantun klasik ini:

 

Pisang emas dibawa belayar

Masak sebiji di atas peti

Utang emas boleh dibayar

Utang budi dibawa mati

 

Apabila kita memberi perhatian kepada bahasa, kita menyedari naratif dan perbendaharaan kata adalah seperti ‘time capsul’,  seperti foto atau video yang masih ada  dari lima ratus hingga seribu tahun yang lalu.

 

 Awang Sulung Merah Muda

Hikayat Awang Sulung Merah Muda sarat dengen contoh kegiatan zaman lampau. Sila baca petikan ini, ketika sepupu baginda puteri Dayang Nuramah sedang bersiap-siap untuk belayar di laut, dengan anak-anak kapal yang terdiri kesemuanya dari puteri dan srikandi belaka.

 

 “Himpunkanlah anak-anak dara datang mengadap ke istana.”

 

 “Lalu bertitah Datok Batin Alam kepada Bujang Selamat, Pergilah kau panggil mualim, jurubatu, jurumudi sekeliannya suruh siapkan kakap.

 

 Bunga Rampai Layangan Angin itu serta alat senjata alat peperangan.”

 

 Maka Selamat pun bermohon pergi mendapatkan mualim, jurumudi, jurubatu sekeliannya.  Maka segeralah jurumudi mengerakan sekelian hulubalang memuatkan obat bedil peluru serta menyiapkan Meriam senapang apa yang kurang disuruh ditambahi.”

 

 “Tinggal sekelian anak dara;  ada yang menjadi mualim, jurumudi, jurubatu masing masing dengan jawatannya.  Maka kakap pun belayar.”

 

 Secara ringkasnya, anak-anak kapal dayang bermusafir bersama puteri Dayang Nuramah menaiki kakap atau kapal Bunga Rampai Layangan Angin lengkap dengan senjata api di laut.

 

 Dan jauh di laut, puteri ternampak pula  geliong panjang kepunyaan puteri Jawa Puteri Dayang Seri Jawa.  Kedua-dua kapal menaikkan bendera kuning mereka, dan Puteri Dayang Nuramah menaiki geliong.  Dia disambut dengan sireh, dan bertukar pantun - persembahan berbudi bahasa di kalangan puteri bangsawan.

 

Inilah kisah dua puteri dunia Melayu berperang sesama sendiri kerana Awang Sulong Merah Muda yang gagah perkasa.

 

 Tetapi marilah kita sulami maksud kisah latar belakang.  Bukan kisah gadis dalam kesusahan tetapi hikayat srikandi yang mengharungi lautan dan menggunakan senjata api dan meriam.

 

Syair Siti Zubaidah

 

Fathu’l-Zaman kapalıya Kita

Lengkapkan dengan alat senjata

Diturunkan median di atas kota

Kerahkan mereka sekeliannya rata

 

Kapal pun sudah lalu diturunkan

Tali menali sekelian dikenakan

Kamar beranda sekelian dihiaskan

Tunggul bendera Sudan dinaikkan

 

Dalam kisah Siti Zubaidah Perang China, syair yang melebihi 4000 rangkap, Sultan Zainal Abidin belayar selama dua purnama, durağan yang melayarkan bahtera melalui pelbagai rintangan seperti ribut di tengah laut

 

Turunlah ribut bukan kepalang

Langit pun hitam sepeti arang

Seperti bukit rupa gelombang

Tubuh kapal sepertikan hilang

 

Seterusnya, diceritakan bagaimana ‘kapal dan kici semua berlanggaran, gemuruh bunyi tidak ketahuan..’ Ini adalah gambaran yang diberikan oleh mereka yang pernah mengharungi mala-petaka di laut.

 

Kearifan Lokal

Sebelum kita menutup bicara keujudan kapal-kapal alam Melayu, kita mesti mengkaji juga kebolehan masyarakat Melayu sebenarnya dalam pembuatan kapal.

 

Kita tahu kebolehan orang Melayu membina istana, mengukir kayu, dan mahir segala tumbuhan dan flora di hutan rimba tropikal.

 

Kebanyakan perahu besar menggunakan kayu cengal yang didapati dengan meluas di kepulauan Melayu terutamanya Semenanjung.

 

Selain kayu, kulit gelam, buluh, dan daun nipah turut digunakan untuk pelbagai fungsi perahu. Kulit gelam terutamanya digunakan sebagai penebat air daripada memasuki ke dalam perahu.

 

Buluh juga digunakan sebagai pengampit layar perahu besar dan pengampit atap kup perahu besar. Daun nipah memang biasa digunakan sebagai  atap dalam senibina Melayu.

 

Kepandaian orang Melayu dalam membina perahu boleh dirujuk kepada pelbagai buku contohnya Perahu, Masyarakat Maritim dan Pelabuhan Johor: Dahulu dan Kini.

 

Yang pentingnya, ilmu ini telah lama diwarisi masyarakat Melayu.

 

HUKUM KANUN MELAKA

Jika kita lihat Hikayat Pahang, Hikayat Johor, Masa Melayu, Hikayat Hang Tuah dan banyak lagi kisah hikayat dari alam Melayu, kita akan meihat banyak lagi referensi atau rujukan budaya alam maritim.

 

Mistik Enrique the Black, atau Panglima Awang sebagai manusia pertama mengelilingi dunia apabila turut serta menjadi sebagai penterjemah  Ferdinand Magellan dan kembali ke tanah tumpahnya, Kepulauan Melayu menjadi legenda yang diceritakan di Malaysia, Filipina, Sumatera dan banyak lagi perbincangan akademik dań juga sastera.

 

Namun bila Hukum Kanun atau undang-undang Alam Melayu memiliki hukum khas untuk perundangan di laut, ini menunjukkan betapa pentingnya alam maritim kepada orang Melayu.

 

Undang- Undang Melaka juga merupakan bahagian daripada bunga rampai perundangan. Yang disebut Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Patani dan Hukum Kanun Brunei juga ada bahagian yang boleh dianggap sebagai Undang-Undang Melaka.

 

Namun, menurut Dr. Liaw Yock Fang, masih ada manuskrip yang jarang disebut dalam mana- mana perbincangan tentang naskah manuskrip Melayu.

 

Manuskrip ini tersimpan di  perpustakaan Vatican City iaitu Vatican Ind. IV Malakaans Wetboek van Zeerecht (Undang-Undang Laut). Naskah yang tersimpan di Vatican City sejak kurun ke17 ini adalah ‘naskhah Undang- undang Melaka yang terbaik’ (Liaw 1976).

 

Kekuasaan Melayu dalam bidang maritim tidak hanya memberikan mereka keuntungan ekonomi, tetapi juga membantu dalam pertukaran pengetahuan dan budaya dengan tamadun lain.

 

Melalui pengetahuan maritim yang kita miliki, orang Melayu dapat mengembangkan teknologi perkapalan  yang lebih canggih.

 

Melalui hikayat, kita melihat ke dalam minda pemikiran orang Melayu ratusan tahun dahulu.

 

Mungkin sudah tiba masanya pakar etnologi, sejarawan dan ahli sastera bekerjasama menegakkan jatidiri nusa dan bangsa.- DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

 

Portfolio Tags