CTOS Digital cadang ambil alih 49% kepentingan JurisTech pada RM205.8 juta | DagangNews Skip to main content

CTOS Digital cadang ambil alih 49% kepentingan JurisTech pada RM205.8 juta

Ketua Pegawai Operasi Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech), Naaman Lee (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif JurisTech, See Wai Hun; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital Bhd., Eric Hamburger dan Ketua Pegawai Kewangan CTOS Digital, Garris Chen selepas memeterai perjanjian hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis – CTOS Digital Bhd. bercadang untuk mengambil alih 49% kepentingan dalam syarikat pakar teknologi kewangan (fintech), Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) dengan pertimbangan tunai berjumlah RM205.8 juta, merupakan pengambilalihan terbesar kumpulan sejak penubuhannya.

 

JurisTech merupakan syarikat fintech terkemuka di Malaysia yang mengkhusus dalam penyelesaian perisian  untuk bank, institusi kewangan, insurans dan syarikat telekomunikasi. 

 

Syarikat itu menyediakan penyelesaian lengkap perisian bersepadu yang meliputi pengurusan kitaran hayat kredit hujung ke hujung.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Eric Hamburger berkata, pengambilalihan itu membolehkan kedua-dua syarikat melengkapi kekuatan masing-masing dan memperkukuhkan penyelesaian digital hujung ke hujung dalam pasaran. 

 

Katanya, ia juga dapat mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyelesaian sehenti bagi institusi kewangan.

 

"Malah, ia juga akan membabitkan banyak sinergi pelanggan, memanfaatkan kerjasama dengan pangkalan pelanggan masing-masing menerusi penyelesaian silang jualan syarikat dan meningkatkan penyelesaian sedia ada.

 

"Ini akan membantu kedua-dua syarikat untuk menembusi pelanggan baharu serta meningkatkan bahagian pelanggan sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

CTOS Digital hari ini memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat untuk cadangan pemerolehan 49% kepentingan ekuiti dalam JurisTech daripada Natsoft (M) Sdn Bhd, syarikat induk yang dikawal oleh pengasas JurisTech, sementara menunggu kelulusan pemegang saham CTOS Digital dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang.

 

Pertimbangan pembelian atas dasar kerelaan pembeli-penjual. Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, langkah ini dijangka selesai pada suku pertama 2022.

 

Bagi membiayai pengambilalihan ini, kumpulan merancang untuk melaksanakan penempatan persendirian bagi saham baharu, mewakili sehingga 10% daripada 1.1 bilion saham tertunggak sedia ada, sementara menanti kelulusan pemegang saham ketika EGM yang tarikhnya akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Selain itu, kumpulan juga mungkin akan mempertimbangkan pilihan pembiayaan bank jika perlu. - DagangNews.com