COVID-19: Malaysia-Singapura ‘ikrar’ kukuhkan kerjasama komunikasi dan maklumat | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Malaysia-Singapura ‘ikrar’ kukuhkan kerjasama komunikasi dan maklumat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Malaysia dan Singapura sekali lagi menegaskan pengukuhan komitmen kerjasama dalam bidang komunikasi dan maklumat antara kedua-dua negara ketika penularan pandemik COVID-19.

Penegasan itu dizahirkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) mengenai Kerjasama Maklumat dan Komunikasi yang diadakan secara maya antara kerajaan Malaysia dan Singapura hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura, Yong Ying-I.

Menerusi sebuah kenyataan bersama, JCM itu menggariskan hubungan dan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Singapura di dalam bidang maklumat dan komunikasi ketika pandemik COVID-19.

“Suriani dan Ying-I membincangkan pelbagai isu melibatkan kedua-dua buah negara ini, termasuk maklumat dan komunikasi digital, ekonomi digital, keselamatan siber dan pertukaran profesional bagi penterjemah dan wartawan pada mesyuarat itu. 

“Mereka juga bertukar-tukar maklumat dan pengalaman masing-masing mengenai maklumat dan usaha penglibatan awam untuk menangani COVID-19,” kata kenyataan itu hari ini. 

Tambah kenyataan tersebut, kedua-dua buah negara itu mengiktiraf JCM sebagai sebuah platform penting untuk mendalamkan lagi hubungan kerjasama Malaysia dan Singapura yang patut diteruskan walaupun menerima cabaran penularan COVID-19.

Jelasnya, Malaysia dan Singapura percaya ia penting untuk meneruskan dan mewujudkan projek kerjasama digital yang bermakna untuk menyokong pemulihan kedua-dua negara itu daripada pandemik COVID-19. 

“Peningkatan penggunaan dan saling kendali teknologi digital ketika COVID-19 merupakan sebuah peluang untuk mengukuhkan ekonomi digital kita dan menambah baik keterhubungan antara perniagaan dan rakyat kedua-duanya,” jelas kenyataan itu. 

JCM seterusnya bakal dianjurkan di Singapura pada tahun hadapan. - DagangNews.com