150 buah jentera CFRT pemasangan tempatan bernilai RM147 juta jadi aset baharu bomba | DagangNews Skip to main content

150 buah jentera CFRT pemasangan tempatan bernilai RM147 juta jadi aset baharu bomba

Jentera CFRT yang menjadi aset baharu JBPM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 April - Sebanyak 150 buah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) menjadi aset baharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menggandakan kecekapan sedia ada.

 

Pembelian kenderaan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM147 yang dibelanjakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan setelah diluluskan kerajaan.

 

Kenderaan jenis ini sesuai digunakan di kawasan sukar dilalui kenderaan besar seperti lokasi terpencil dan laluan sempit berbanding jentera bomba biasa.

 

Spesifikasi jentera ini ditetapkan oleh JBPM berdasarkan keperluan semasa.

 

 

Bomba
Jentera CFRT dapat memudahkan operasi memadam kebakaran di kawasan yang sukar dilalui kenderaan besar.

 

Ia juga boleh bertindak selaku jentera yang memberikan respons awal di lokasi sebelum mendapat bantuan aset lain.

 

Jentera CFRT yang boleh membawa lima anggota bomba ini dilengkapi dengan kelengkapan bagi bantuan kecemasan termasuk kebakaran seperti pam air bertekanan tinggi serta lain-lain alatan.

 

Kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya ini menggunakan kerangka jentera Hino 300 Series Pro dengan enjin Euro-3 diesel turbo dengan berat kira-kira 5 tan.

 

Sebahagian daripada jentera ini telah pun diserahkan kepada beberapa balai bomba secara berperingkat-peringkat.

 

Bomba

 

Bomba
Sebahagian daripada kelengkapan yang ada pada jentera CFRT.

 

Ini termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

 

Difahamkan ketika ini terdapat kira-kira 324 buah balai bomba di seluruh negara.

 

 

Kementerian Kewangan pada September 2022 telah meluluskan perolehan aset jentera dan pembangunan projek bagi JBPM membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM291.4 juta.

 

Perbelanjaan ini termasuk pembelian 150 jentera CFRT tersebut.

 

Bomba

 

Kontrak pembelian kenderaan CFRT ini kemudiannya dianugerahkan kepada pengeluar kenderaan pemadam kebakaran dan keselamatan, CME Group Bhd. melalui anak syarikatnya, CME Edaran Sdn. Bhd.

 

Pembekalan 150 unit CFRT ini lengkap dengan kelengkapan dan aksesori kepada JBPM dalam tempoh 72 bulan.

 

Perolehan itu adalah bukti kesungguhan dan iltizam kerajaan bagi memperkasa dan memperkukuhkan aset serta kemudahan JBPM. - DagangNews.com