Velesto Energy raih kontrak penggerudian pelantar jack-up bernilai AS$14 juta | DagangNews Skip to main content

Velesto Energy raih kontrak penggerudian pelantar jack-up bernilai AS$14 juta

KUALA LUMPUR 2 Feb - Velesto Energy Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya Velesto Malaysian Ventures Sdn. Bhd. meraih kontrak perkhidmatan penggerudian pelantar jack-up bernilai AS$14 juta. 

 

Ia menerima surat anugerah daripada ROC Oil (Sarawak) Sdn. Bhd. membabitkan kontrak bagi pelantar jack-up Velesto iaitu Naga 2, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

 

Kontrak itu bagi menggerudi tiga telaga yang dijangka bermula antara 25 Januari hingga 25 Februari 2023.

 

"Kumpulan akan menyerahkan Naga 2 untuk kontrak ini. Naga 2 ialah pelantar bicu cantilever kaki bebas premium dengan keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan mempunyai kedalaman air operasi berkadar 350 kaki," katanya.

 

Velesto Energy menjangkakan kontrak tersebut akan menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Ketika dagangan berakhir tengah hari tadi, saham Velesto Energy menokok 2.5 sen atau 10.87% kepada 25.5 sen dengan 137.75 juta saham diniagakan. - DagangNews.com