Untung bersih suku ketiga Bumi Armada susut kepada RM149.7 juta disebabkan semakan nilai kapal | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku ketiga Bumi Armada susut kepada RM149.7 juta disebabkan semakan nilai kapal

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - Untung bersih Bumi Armada Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut 2.4% kepada RM149.7 juta daripada RM153.41 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan semakan semula yang lebih rendah dalam anggaran nilai baki kapal kumpulan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan pada suku berkenaan meningkat kepada RM653.07 juta daripada RM517.92 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 berikutan kemajuan yang lebih tinggi bagi kerja-kerja kontrak pembinaan dasar laut di Laut Caspian.

 

Keuntungan operasi sebelum rosot nilai ialah RM276.4 juta, meningkat 14.1% berbanding suku kedua 2022 disebabkan tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi.

 

Penjanaan tunai kekal kukuh dengan aliran tunai operasi bersih sebanyak RM512.2 juta yang membolehkan kumpulan membayar balik hutang hampir AS$74.8 juta pada suku tersebut.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih Bumi Armada meningkat 14.9% kepada RM521.73 juta daripada RM456.07 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 9.2% kepada RM1.8 bilion daripada RM1.65 bilion.

 

Nilai kontrak kumpulan setakat akhir suku ketiga kekal teguh pada RM13 bilion, dengan tambahan pilihan lanjutan sehingga RM9.9 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, kumpulan berjaya menjalankan proses penutupan yang dirancang untuk dua kapalnya dengan cara yang selamat dan cekap dan bermula kembali lebih awal daripada perancangan.

 

"Armada penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPO) terus memberikan operasi yang stabil dan kami kekal fokus pada keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan. 

 

"Kami akan meneruskan pelbagai projek baharu di tengah-tengah harga tenaga yang tinggi dan disokong oleh kedudukan kewangan kami yang sentiasa bertambah baik," katanya. - DagangNews.com