Untung bersih Genetec Technology meningkat 57.7% kepada RM25.06 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Genetec Technology meningkat 57.7% kepada RM25.06 juta pada 2QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih Genetec Technology Berhad meningkat 57.7% kepada RM25.7 juta 2QFY23 daripada RM16.3 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, semua segmen dalam portfolionya terus berkembang dengan sumbangan kekal konsisten dengan suku sebelumnya.

 

Hasilnya pada 2QFY23 meningkat 19.1% kepada RM70.66 juta daripada RM59.31 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, untung bersih Genetec melonjak 77.8% kepada RM43.55 juta daripada RM24.49 juta manakala hasil meningkat 44.5% kepada RM143.88 juta daripada RM99.59 juta.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama eksklusifnya baru-baru ini dengan konglomerat tenaga dan infrastruktur pelbagai, Citaglobal Berhad akan menyaksikan syarikat itu membekalkan penyelesaian sistem pengurusan storan tenaga bateri (BESS) ke tapak projek yang ditetapkan di negeri-negeri berbeza di seluruh Malaysia dalam tempoh beberapa tahun.

 

Peranan syarikat meliputi penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan binaan, serta pemasangan dan penyelenggaraan di tapak.

 

Kumpulan itu sedang dalam usaha mengurangkan separuh jejak karbonnya menjelang 2030 dan mencapai sasaran karbon sifar bersihnya menjelang 2050 akan memacu penumpuan tenaga dan pelaburan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Kapasiti simpanan tenaga baharu dijangka ditambah secara global antara 2022 dan 2030 apabila syarikat dan negara beralih ke arah tenaga bersih.

 

"Jangkaan adalah untuk RE menyediakan 65% daripada jumlah bekalan elektrik dunia menjelang 2030, dengan nyahkarbon besar-besaran 90% sektor kuasa menjelang 2050.

 

"Menjelang akhir dekad, AS dan China dijangka terus menjadi dua pasaran terbesar, menyumbang lebih separuh daripada semua pemasangan storan RE di seluruh dunia.

 

"Dalam sektor EV, kami akan terus mengembangkan prestasi kami dan meningkatkan kapasiti kami untuk mencapai tahap baharu," tambahnya. - DagangNews.com