TNB labur RM5.8 bilion bagi menaik taraf Stesen Janakuasa Sungai Perak | DagangNews Skip to main content

TNB labur RM5.8 bilion bagi menaik taraf Stesen Janakuasa Sungai Perak

Stesen Janakuasa Chenderoh merupakan satu daripada 6 Stesen Janakuasa Sungai (SSJ) di Perak di bawah Program Lanjutan Hidup Hidro.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi melaksanakan program Pelanjutan Hayat Hidro enam stesen di SSJ Sungai Perak dengan pelaburan RM5.8 bilion mulai tahun ini.

 

Menurut TNB, seperti pemakluman kepada Bursa Malaysia bertarikh 14 Oktober lalu, langkah memperkasakan semula Stesen-Stesen Janakuasa (SSJ) Sungai Perak dengan kapasiti 650.75 megawatt (MW) adalah bagi menyokong aspirasi Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara dan memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Indera Ir. Baharin Din berkata, 18 unit penjanaan di enam stesen berkenaan akan dinaik taraf kepada teknologi terkini dan operasinya dijangka mampu mencatat Pendapatan Sebelum Faedah & Cukai (EBIT) RM200 juta setahun.

 

“Ini adalah antara inisiatif memperkasakan lagi langkah Peralihan Tenaga TNB dengan sasaran meningkatkan kapasiti TBB kami kepada 8,300MW pada 2025, sejajar aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

“Inisiatif di SSJ Sungai Perak ini terus mengekalkan penguasaan TNB dalam sektor penjanaan hidro dengan kapasiti kumulatif 2,661MW dalam menyokong negara neutral karbon dan Dasar Tenaga Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya.

 

 

Dato’ Indera Ir. Baharin Din
                 Dato’ Indera Ir. Baharin Din

 

 

Kecuali SJ Pergau, enam stesen dalam skim hidroelektrik yang sama di SSJ Sungai Perak iaitu SJ Temengor, SJ Bersia, SJ Kenering, SJ Chenderoh dan SJ Sungai Piah (Upper & Lower), bakal beroperasi di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement - PPA) baharu selama 40 tahun, dengan unit pertama dijangka beroperasi secara komersial mulai 2025.

 

Ketika ini, keseluruhan skim merangkumi enam stesen tersebut yang setiap satu dibina di antara tahun 1926 hingga 1986 dan SJ Pergau yang dibina pada 1991, menjana 1,249.1MW bersamaan 2,755GWh purata keluaran tenaga tahunan dan menyumbang 49% sumber tenaga hidro di Semenanjung Malaysia.

 

Kerja-kerja naik taraf SSJ Sungai Perak melibatkan pelbagai keperluan terkini teknologi termasuk turbin dan transformer bagi meningkatkan kecekapan dan hayatnya, lantas menyuntik kepada usaha memperkukuhkan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

Komitmen tersebut terangkum dalam fungsi dan sumbangan SSJ Sungai Perak terhadap penjanaan tenaga hijau, membendung bencana banjir, sumber air bersih dan membantu meningkatkan sosioekonomi khususnya masyarakat setempat.

 

 

Dato’ Nor Azman Mufti
          Dato’ Nor Azman Mufti

 

 

Pengarah Urusan TNB Genco, Dato’ Nor Azman Mufti menjelaskan bahawa SSJ Sungai Perak meneruskan peranannya sebagai tebatan banjir, mengurus sumber air takungan pengairan pertanian dan air bersih serta meningkatkan peluang pekerjaan, di samping potensi kegiatan baru seperti eko-pelancongan dan akuakultur. 

 

“Dari segi tenaga hijau, SSJ Sungai Perak dapat mengurangkan jumlah pelepasan karbon dioksida sehingga kira-kira 464,000 tCO2e atau bersamaan dengan pelepasan karbon oleh 100,000 kenderaan setahun,” jelasnya. - DagangNews.com