Tiga Wanita Berani kongsi resipi kejayaan | DagangNews Skip to main content

Tiga Wanita Berani kongsi resipi kejayaan

BAGI kebanyakan usahawan wanita, keyakinan mereka meningkat selepas beberapa tahun menceburi bidang perniagaan. Namun bagi yang lain, masalah kurang keyakinan diri terus menjadi cabaran bagi mereka.

 

Keyakinan diri adalah kunci sesuatu kejayaan. Membina perniagaan yang berjaya memerlukan usaha dan kepercayaan yang berterusan serta pengurusan sumber yang cekap.

 

Memulakan sebuah perniagaan ada cabaran-cabarannya sebagai contoh, keadaan perniagaan kurang memberangsangkan.  Jika anda tidak memiliki kesungguhan dan keyakinan, anda tidak akan berjaya.

 

Tiga orang finalis siri realiti Resipi Berani MAGGI Musim ke-2 berkongsi tentang cabaran yang dihadapi sebagai seorang usahawan - memulakan dan mengendalikan perniagaan mereka, menangani kegagalan dan kekecewaan serta pengalaman yang memberi semangat kepada mereka untuk maju ke hadapan.

 

Resipi Berani MAGGI merupakan kemuncak kepada Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI, melalui siri realiti enam episod yang menguji kecekalan para peserta menempuh cabaran kulinari dan keusahawanan.

 

Program ini berpegang pada semangat MAGGI CukupRasa ‘Tak Kenal Tak Cinta’ yang menggalakkan wanita untuk keluar dari zon selesa masing-masing dan mencuba sesuatu yang baru – sama ada dalam masakan, kehidupan atau perniagaan.

 

 

maggi
Nur Syahidah menilai semula harga dirinya dan berkongsi bagaimana dia terus berusaha walaupun memiliki perbezaan fizikal.

 


Usahawan makanan berpangkalan di rumah, Nur Syahidah Aimullah yang berusia 32 tahun, merupakan juara Resipi Berani MAGGI Musim ke-2. Membesar dalam keluarga yang menjalankan perniagaan katering, beliau menanam impian untuk memiliki perniagaan sendiri sejak dari kecil lagi. Beliau mula bekerja pada usia 20an, antaranya sebagai pembantu pensyarah dan setiausaha pengurusan.  

 

“Pada tahun 2019, saya dan suami membuat keputusan untuk berpindah ke kampung saya di Kulim untuk menjaga ibu bapa saya yang sudah tua. Pada masa itulah saya berkeputusan untuk keluar dari zon selesa saya dengan memulakan perniagaan sendiri, NSA Cookies, menjual biskut coklat cip dan biskut sarang semut,” Syahidah menjelaskan.

 

"Perjalanan untuk memulakan perniagaan tidak selalu mudah. Banyak cabaran yang perlu dihadapi. Namun kita perlu yakin bahawa masa yang sesuai akan tiba. Kita hanya perlu mencuba dan jangan berputus asa,” kata Syahidah. “Bagi saya daya tahan amat penting dalam keusahawanan. Anda mesti percaya pada apa yang anda boleh lakukan, selain mengekalkan semangat keusahawanan untuk terus mendorong anda menuju ke hadapan!”

 

Berbekalkan hasrat untuk meningkatkan keyakinan diri dan memperoleh kemahiran baharu bagi memajukan perniagaannya, Syahidah menyertai Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI. Melalui program ini, beliau telah menghadiri Bengkel Wanita Cukup Berani MAGGI untuk mempelajari tentang kemahiran perniagaan, digital dan masakan.

 

Perbezaan fizikal tiada halangan

Dilahirkan dengan sindrom Blepharophimosis atau kelopak mata tidak normal menyebabkan Nur Syahidah sering merasa malu sejak kecil lagi jurus membawa kepada perasaan rendah diri. “Sudah bertahun-tahun saya bergelut dengan perasaan ini disebabkan penampilan fizikal saya. Namun, sejak menyertai rancangan Resipi Berani MAGGI Musim ke-2 dan menjuarai pertandingan ini, keyakinan saya semakin bertambah. Saya seperti tidak percaya sebenarnya!” katanya.

 

Semangat dan kesungguhan Syahidah tekah menyaksikan beliau menduduki tempat pertama di dalam rancangan tersebut dan memenangi modal permulaan sebanyak RM8,000 serta program bimbingan selama lapan minggu bersama Anne Idris. Baru-baru ini Syahidah memperkenalkan produk sedia-untuk-dimakan (Ready-to-eat) terbaru beliau, Rendang Dendeng Daging, di bawah jenama Syahidah Food. Syahidah merancang untuk meluaskan capaiannya ke negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia menjelang tahun 2025. 

 

“Saya kini lebih yakin dengan diri sendiri dan semakin berani untuk melangkah lebih jauh lagi! Penampilan fizikal bukanlah pengukur kepada nilai diri saya. Saya sebenarnya bersyukur dengan paras rupa saya. Disebabkan penampilan ini, saya menjadi lebih terserlah dan orang ramai mengenali saya!” tambah Syahidah.

 

Ditanya tentang manfaat yang diperoleh daripada Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI, Syahidah berkata beliau banyak belajar tips keusahawanan dari Anne Idris, salah seorang Mentor program tersebut. Anne telah mengajarnya tentang pengiraan kos makanan, strategi harga dan pengoptimuman harga supaya beliau mampu mencapai keuntungan yang lebih tinggi.

 

 

maggi
Suzaimi: Kekal bersemangat dalam perniagaan, walaupun selepas satu dekad

 


Sebelum menyertai Resipi Berani MAGGI Musim ke-2, Mek tidak asing lagi dalam dunia perniagaan. “Cuba tanya penduduk Kuala Terengganu, siapa tak kenal Mek’s Chicken Rice!” Suzaimi berkata. Walaupun begitu, ini tidak bermakna Mek tidak mahu belajar dan meningkatkan kemahiran bagi memajukan perniagaan makanannya.

   

Suzaimi Zahari, wanita yang berusia 38 tahun dan ibu kepada dua orang anak yang aktif ini, menjalankan perniagaan nasi ayam di Kuala Terengganu. Perniagaan ini diwarisi daripada ibunya sejak awal tahun 2010an. Kedai beliau terkenal dengan nasi ayam bersama jus oren segar yang dijual pada harga RM7. Harga ini tidak berubah sejak tahun 2012! Perniagaan Suzaimi juga diiktiraf oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai Kedai Harga Patut pada tahun 2021.

 

“Restoran ini adalah sebahagian daripada diri saya. Di sinilah saya mula belajar tentang makanan, masakan dan perniagaan. Melihat ibu saya menguruskan restorannya sendiri membuktikan kepada saya bahawa setiap orang boleh mengejar impian dan memiliki impian BESAR masing-masing!”

 

“Pada tahun-tahun awal perniagaan, memanglah kita perlu banyak berusaha termasuk melabur masa dan kewangan kita. Kita perlu tekun dan sabar, barulah kejayaan dapat dikecapi. Bagi saya, memiliki pemikiran yang luas serta cita-cita yang tinggi dari awal adalah penting untuk membimbing kita ke destinasi yang ingin kita capai.”

 

Ditanya tentang bagaimana beliau menangani cabaran, Suzaimi berkata, “Pengorbanan, kejayaan dan cabaran itu adalah lumrah dalam menjalankan perniagaan. Kadang-kala cabaran datang bertalu-talu. Walau bagaimanapun ini adalah sebahagian daripada asam garam dunia keusahawanan. Manfaatkan setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar.

 

Kita perlu komited untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan! Matlamat saya untuk Mek’s Chicken Rice adalah jelas – menjadi nasi ayam yang paling terkenal di Terengganu!”

 

Dengan impian untuk mengembangkan perniagaan dan membuka lebih banyak cawangan Mek’s Chicken Rice, Suzaimi menyertai Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dan pemasaran digital demi mencapai impiannya. Suzaimi akhirnya terpilih sebagai salah seorang finalis untuk siri realiti Resipi Berani MAGGI Musim ke-2 dan muncul sebagai pemenang tempat kedua, dengan membawa pulang hadiah modal permulaan sebanyak RM5,000.

 

Ketika mengulas kejayaannya, Suzaimi berkata, “Pernah beberapa kali saya mahu menyerah kalah. Namun saya bertuah kerana mendapat sokongan daripada suami dan keluarga saya. Mereka telah mengiringi saya sepanjang perjalanan ini. Keluarga saya merupakan sumber inspirasi dan motivasi terbesar bagi saya.” 

 

“Motivasi dan inspirasi kehidupan kita sebenarnya berbeza antara satu sama lain. Memahami motivasi masing-masing boleh menentukan sama ada kita berjaya atau gagal!” kata beliau mengakhiri temu bual.

 

 

maggi
Noraslinda tinggalkan zon selesa untuk memulakan perniagaan makanan dari rumah.


 

Dari kecil, Noraslinda tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan. “Ketika saya mula-mula membuat kerja sambilan menjual sandwic, saya tidak ada arah tuju. Saya hanya tahu bahawa saya bersemangat untuk mencari pendapatan tambahan dengan melakukan apa yang saya suka iaitu memasak,” kata beliau.

 

Noraslinda yang berusia 39 tahun ini ialah ibu kepada 4 orang cahaya mata dan kini bertugas sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan. Beliau gemar membuat sandwic dan menjalankan perniagaan katering secara kecil-kecilan pada setiap hujung minggu.  

 

Noraslinda merupakan gambaran seorang wanita hebat yang bijak menguruskan masa antara kerjaya, komitmen keluarga dan memenuhi tempahan yang diterima. “Selepas saya mula menerima lebih banyak pesanan serta maklum balas positif daripada para pelanggan, saya menjadi semakin bersemangat. Sejak itu, saya mula meningkatkan usaha dan memberi lebih tumpuan kepada perniagaan saya. Matlamat saya adalah untuk mengembangkan perniagaan sandwic saya!”    

 

“Ramai yang bertanya bagaimana saya dapat menguruskan perniagaan sampingan sambil menjalankan kerja sepenuh masa. Saya akui bahawa saya tidak berkemampuan untuk berhenti kerja demi mengejar impian sebagai usahawan. Mengimbangi kedua-dua peranan ini bukanlah mudah. Namun begitu, saya percaya bahawa untuk menjadi seorang usahawan bukanlah sesuatu yang menakutkan dan juga tidak bermakna perlu berhenti daripada pekerjaan tetap kita. Saya syorkan untuk bermula secara kecil-kecilan, sambil itu mengumpulkan pengalaman sebelum membesarkan perniagaan.”

 

Noraslinda mencintai seni dan kreativiti di sebalik setiap karya agung. Ini antara sebabnya beliau memasukkan unsur seni dalam perniagaannya di mana setiap kotak sandwic beliau dihiasi dengan lukisan peribadi. “Saya bukanlah Picasso!” kata Noraslinda sambil ketawa. “Tapi saya gembira melihat hobi saya ini dapat menggembirakan hati para pelanggan saya.”

 

Noraslinda baru-baru ini mula mempromosikan perniagaan makanannya melalui media sosial selepas menghadiri bengkel secara dalam talian untuk Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI. Beliu kemudiannya terpilih sebagai finalis 12 Teratas bagi siri realiti Resipi Berani MAGGI Musim ke-2 dan muncul sebagai pemenang Tempat Ketiga. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang siri ini, Noraslinda merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan item baharu dalam senarai menu dan akhirnya mahu membuka kafe sendiri bersama suami di Kuala Selangor.

 

Saya cukup berani! Saya akan capai cita-cita saya suatu hari nanti!,” sahut Noraslinda.

 

Ketiga-tiga usahawan ini merupakan contoh wanita yang diperkasakan untuk mencapai kejayaan dengan membina kesedaran dan keyakinan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu dan meningkatkan kemahiran mereka bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

 

Mereka juga turut memberi inspirasi dan impak kepada kehidupan orang lain. Begitulah juga dengan MAGGI CukupRasa yang berhasrat untuk membantu wanita menyediakan pelbagai pilihan hidangan yang enak untuk keluarga walaupun berdepan kekangan masa. Ini membolehkan mereka untuk mencuba pelbagai jenis hidangan, menambah perisa makanan atau memajukan lagi perniagaan makanan masing-masing. - DagangNews.com