Teknologi telekesihatan bantu kembangkan sektor kesihatan negara - DoctorOnCall | DagangNews Skip to main content

Teknologi telekesihatan bantu kembangkan sektor kesihatan negara - DoctorOnCall

KUALA LUMPUR 7 Feb - Penggunaan teknologi telekesihatan dilihat sebagai salah satu strategi yang dapat mengembangkan lagi sektor kesihatan negara, kata Pengasas Bersama Health Digital Technologies (DoctorOnCall), Hazwan Najib. 

 

Selain itu, ia dapat memajukan sektor tersebut untuk menjadi  lebih canggih pada masa hadapan, lebih-lebih lagi memandangkan kadar penggunaan teknologi dalam sektor kesihatan negara masih di tahap yang rendah, katanya.

 

DoctorOnCall ialah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan telekesihatan dan farmasi digital ditubuhkan pada tahun 2016 untuk memenuhi jurang antara permintaan dan penawaran, di mana ia memudahkan orang ramai yang tidak mempunyai akses ke klinik dan hospital terdekat bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan dalam talian tanpa perlu berulang-alik.

 

Hazwan berkata sehingga kini, penggunaan teknologi dalam sektor penjagaan kesihatan hanya berada dalam lingkungan 5% berbanding dengan sektor lain seperti perbankan dan telekomunikasi.

 

“Hanya setahun selepas ditubuhkan, kami memperluaskan perkhidmatan kesihatan yang  ditawarkan, ia termasuk perkhidmatan konsultasi dalam talian daripada doktor dan mendapatkan bacaan penting seperti tekanan darah tinggi, paras gula dalam badan dan suhu dalam masa nyata  daripada doktor yang jauh dari pesakit," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Selain daripada memudahkan pesakit, ia juga dapat menarik lebih ramai pelancong kesihatan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan Malaysia yang bermutu tinggi.

 

"Ia umpama perkhidmatan kesihatan tanpa sempadan, dan pelancong kesihatan boleh berhubung dengan doktor pakar bagi mendapatkan nasihat doktor, rawatan susulan dan sebagainya," katanya.

 

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai perkhidmatan kesihatan yang berkredibiliti  tinggi serta menerima kemasukan pelancong kesihatan dari Indonesia, China serta Asia Barat.

 

Data daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menunjukkan bahawa Malaysia memperoleh RM1.7 bilion hasil perjalanan perubatan pada 2019 dengan anggaran RM6 bilion daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan lain yang tidak berkaitan seperti perjalanan udara, pengangkutan, makanan dan minuman, penginapan dan aktiviti pelancongan.

 

MHTC berkata kerajaan Malaysia menyasarkan hasil hospital (penerimaan perubatan sahaja) daripada pelancongan perubatan mencecah RM1 bilion pada 2022, meningkat kepada RM1.3 bilion pada 2023, RM1.7 bilion pada 2024 dan RM2 bilion pada 2025.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan DoctorOnCall, Hazwan berkata syarikat itu telah melancarkan projek DOCPod, ia berperanan meluaskan akses kepada pesakit terutamanya mereka yang mempunyai penyakit kronik di kawasan luar bandar melalui klinik bergerak yang ditempatkan di komuniti tersebut. 

 

Projek itu menerima geran yang dibiayai di bawah dana Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) melalui Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk memudahkan aktiviti reka bentuk dan ujian prototaip DOCPod.

 

Syarikat ini juga telah menerima dana Business Start-up Fund dari MTDC semenjak 2022. MTDC turut memberi khidmat nasihat, bimbingan , jaringan perniagaan di antara syarikat ekosistem MTDC.

 

"Kami menerima dana daripada MTDC bagi melebarkan inovasi syarikat kami pada 2020 dan ia tepat pada masanya kerana disebabkan pandemik COVID-19, ia telah mengubah industri kesihatan dengan drastik dan kita memerlukan instrumen untuk mendekati pesakit," katanya.

 

Selain membantu menjana ekonomi negara, NTIS juga berperanan membantu melancarkan penggunaan teknologi baharu di dalam pelbagai sektor terutama sekali dalam memerangi wabak COVID-19. 

 

Setakat ini, dana NTIS telah di luluskan kepada 98 syarikat.

 

NTIS yang terletak di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah kemudahan yang membolehkan penyelidik, penginovasi, syarikat pemula dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam  persekitaran secara langsung. – DagangNews.com