Segmen gula pengaruhi prestasi FGV pada Q3, keuntungan susut hampir 40% kepada RM241.67 juta | DagangNews Skip to main content

Segmen gula pengaruhi prestasi FGV pada Q3, keuntungan susut hampir 40% kepada RM241.67 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Nov - Untung bersih FGV Holdings Bhd. susut 39.5% kepada RM241.67 juta bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 September 2022 daripada RM399.39 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipengaruhi kerugian yang dicatatkan daripada segmen perniagaan gula. 

 

FGV yang memiliki 51% kepentingan dalam MSM Malaysia Holdings Bhd. menyaksikan kerugian berjumlah RM71 juta disebabkan peningkatan kos pengeluaran sebanyak 20%, menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sektor gula mengalami penurunan margin, akibat kos input yang tinggi bagi gula mentah, pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit, meskipun terdapat peningkatan pada purata harga jualan keseluruhan.

 

Selain itu, ia turut dipengaruhi penurunan volum jualan minyak sawit mentah dan minyak sawit diproses (PPO) bagi sektor perladangan.

 

Di sebalik keuntungan bersih yang jatuh dengan ketara, FGV merekodkan pendapatan sebanyak RM6.18 bilion, meningkat 16% daripada RM5.32 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih FGV meningkat 40.15% kepada RM984.93 juta daripada RM702.79 juta manakala pendapatan melonjak 45% kepada RM19.46 bilion berbanding RM13.39 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

 

Keuntungan operasi juga meningkat 53% kepada RM1.78 bilion untuk tempoh sembilan bulan berbanding RM1.16 bilion yang dilaporkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, FGV kekal di landasan untuk mengakhiri tahun kewangan 2022 dengan kukuh. 

 

"Prestasi operasi kami yang lebih baik untuk suku ketiga disokong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah yang direalisasikan serta pencapaian daya pengeluaran dan muatan tan yang dipacu oleh sektor logistik," katanya. 

 

Beliau menjangkakan sektor perladangan Malaysia kekal berdaya tahan pada suku keempat 2022 dengan unjuran pengeluaran minyak sawit mentah mendatar sebanyak 18.3 juta tan metrik.

 

Katanya, peningkatan bekalan daripada pengeluaran buah tandan segar yang lebih tinggi secara bermusim serta simpanan di negara pengeksport seperti Indonesia mungkin terus memberi tekanan ke atas harga minyak sawit mentah. 

 

"Namun begitu, harga minyak sawit mentah dijangka berada pada purata sekitar RM4,000 satu tan metrik pada suku keempat ini.

 

"Kami meramalkan prestasi tahun fiskal yang kukuh pada 2022 melainkan wujud keadaan yang tidak dijangka," jelasnya. - DagangNews.com