Reneuco tingkatkan pemilikan aset melalui pengambilalihan Adat Sanjung bernilai RM90 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reneuco tingkatkan pemilikan aset melalui pengambilalihan Adat Sanjung bernilai RM90 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Reneuco Berhad menerusi anak syarikatnya, Reneuco RE Sdn. Bhd. memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bersama OHP Ventures Sdn. Bhd. bagi memperoleh Adat Sanjung Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat induk langsung Pristine Falcon Sdn. Bhd.

 

Menerusi SSA itu, Reneuco RE akan mengambil alih 10,000 saham biasa dalam Adat Sanjung mewakili keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat, untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM90 juta.

 

Pertimbangan Pembelian akan dipenuhi melalui gabungan pembayaran tunai RM20 juta serta peruntukan dan terbitan 318,181,819 saham biasa baharu dalam Reneuco pada harga terbitan RM0.22 setiap saham tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam SSA.

 

Pada masa yang sama, OHP Ventures akan melepaskan sehingga 87,662,338 Saham Pertimbangan kepada E&E Catalyst Sdn. Bhd. (“E&E Catalyst”) untuk pemerolehan oleh Adat Sanjung daripada 10,000,000 saham keutamaan boleh tukar kumulatif boleh tebus yang dimiliki oleh E&E Catalyst.

 

Selepas perkar aitu selesai, Reneuco akan melihat perubahan ketara dalam struktur kumpulan dengan kemasukan E&E Catalyst yang memegang 10.18% ekuiti dalam.

 

Pada masa sama, Pengerusi Eksekutif Reneuco, Datuk Mustakim Mat Nun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amirul Afif Abd. Aziz yang dianggap sebagai pihak berkepentingan dalam Reneuco dan OHP Ventures akan meningkatkan pegangan saham kolektif mereka daripada 7.36% kepada 31.41%.

 

Mustakim berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan E&E Catalyst dalam kumpulan itu dan pemilikan mereka terhadap kepentingan strategik dalam Reneuco menandakan kepercayaan terhadap kepakaran kumpulan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.

 

"Komposisi pemilikan baharu ini akan mengukuhkan lagi keupayaan kami untuk mencapai matlamat kami untuk menjadi penyedia penyelesaian sehenti, luas yang boleh diperbaharui, mampan dan hijau di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

"Cadangan pengambilalihan merupakan satu lagi kejayaan bagi Reneuco kerana ia akan meningkatkan pemilikan aset kami dalam segmen tenaga boleh diperbaharui sebanyak 29.1MW lagi.

 

"Selain aset solar sedia ada di Pekan dengan jumlah kapasiti penjanaan 50MW dan aset hidro sedia ada kami dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak 40.4MW di Gua Musang akan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 119.5MW, satu langkah besar dalam perjalanan kami untuk menjadi tenaga boleh diperbaharui dan kuasa ekonomi yang mampan," katanya. - DagangNews.com