PUNB jalin kerjasama dengan GMI dalam pembuatan EV tahun depan | DagangNews Skip to main content

PUNB jalin kerjasama dengan GMI dalam pembuatan EV tahun depan

KUALA LUMPUR 2 Nov - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperbanyakkan kursus dan latihan peningkatan kemahiran menerusi kerjasama strategik bersama German-Malaysian Institute (GMI) dalam memberi pendedahan teknologi terkini pembuatan kenderaan elektrik (EV) tahun depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, permintaan terhadap kepakaran untuk servis kenderaan EV dan hibrid dilihat meningkat di Malaysia terutamanya apabila kenderaan tersebut luar daripada tempoh jaminan. 

 

“Untuk tahun ini, sebanyak tiga sesi  latihan telah dianjurkan melibatkan 60 peserta terdiri dari Rakan Usahawan dan warga kerja PUNB,” katanya selepas Majlis Perasmian Auto Forum 2022 hari ini, lapor Bernama.

 

Inisiatif ini juga sebagai langkah sokongan PUNB terhadap kerajaan dalam industri automotif yang memfokuskan kepada penggunaan EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 dalam usaha mencapai sebuah negara bebas karbon menjelang 2050.

 

“Sehubungan itu, sebagai sebuah pusat pembangunan keusahawanan, PUNB bertanggungjawab untuk memberi pendedahan melalui kursus dan latihan yang ditawarkan bagi memastikan perniagaan Rakan Usahawan PUNB mampu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi masa kini,” kata Izwan.

 

Selain itu, beliau berkata, PUNB juga bekerjasama dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. melalui Program Petronas AutoExpert sebagai platform untuk menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia ini.

 

“Melalui kerjasama ini, Rakan Usahawan yang layak akan berpeluang untuk mendapat sokongan pembiayaan dari PUNB bersama bimbingan yang ditawarkan oleh pihak Petronas untuk memulakan perniagaan,” katanya.

 

Izwan berkata, perbadanan itu menyasarkan seramai 20 usahawan automotif PUNB untuk  menyertai Program Petronas AutoExpert dalam tempoh dua tahun sehingga penghujung 2024.

 

Dalam perkembangan berasingan, Izwan berkata, sebanyak RM409.3 juta pembiayaan perniagaan telah diluluskan kepada 1,238 syarikat dalam industri automotif sejak penubuhan PUNB sehingga 30 September 2022.

 

Secara keseluruhan, PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan sebanyak RM3.9 bilion kepada 13,615 usahawan daripada 9,509 syarikat sejak penubuhannya sehingga 30 September 2022 manakala sasaran kelulusan pembiayaan perniagaan tahun ini adalah sebanyak RM189 juta kepada 314 syarikat. - DagangNews.com