Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi memperkasa golongan wanita dalam ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi memperkasa golongan wanita dalam ekonomi digital

(Dari kiri) Geetha Balakrishna, Juan Aranols, Nancy Shukri, Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan; Ketua Industri FMCG Google Malaysia, Chuah Jia Wen; dan Ketua Penyelesaian Pelanggan Negara TikTok untuk Singapura, Malaysia dan Filipina, Ayeshah Mirzha dalam majlis perasmian program tersebut pada 16 Mac 2023
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Maggi meneruskan Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi dengan usaha sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan tiga buah syarikat gergasi teknologi untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam ekonomi digital.

 

Menerusi usaha sama dengan tiga syarikat iaitu Google, Meta dan TikTok, mereka akan menawarkan bengkel peningkatan kemahiran dan ‘Masterclass’ bertumpukan kepada penghasilan kandungan media sosial, perkembangan peribadi dan strategi untuk mengembangkan perniagaan makanan, kata Maggi dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Maggi, program yang telah dilancarkan pada 2020 itu telah berjaya memberi impak kepada lebih 3,500 wanita seluruh negara.

 

Dalam ucap tama di majlis pelancaran, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini #EmbraceEquity selaras dengan matlamat kementerian untuk menggalakkan penyertaan wanita secara aktif sebagai tenaga kerja.

 

“Usaha meningkatkan kemahiran wanita dan masyarakat terpinggir dengan kemahiran digital akan memberikan peluang pendapatan yang baharu, seterusnya merapatkan jurang kesaksamaan gender.

 

“Maggi akan berkolaborasi dengan kementerian dalam usaha capaian komuniti di peringkat akar umbi dengan tumpuan terhadap kumpulan B40, di mana bengkel peningkatan kemahiran dan inisiatif disediakan untuk membantu mereka memanfaatkan ekonomi digital,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, “Dengan ketibaan era pendigitalan, Nestlé menerusi Maggi, menggalakkan kesaksamaan gender dengan meningkatkan kemahiran dan memperkasakan wanita dalam dunia digital.

 

Kami berusaha untuk membantu wanita membina keyakinan diri dan menyumbang kepada kedudukan kewangan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

 

Bengkel dalam talian, Wanita Cukup Berani Maggi, tahun ini memperkenalkan sebuah modul baharu untuk peserta yang mahu memulakan perjalanan mereka sebagai pencipta kandungan berasaskan makanan, sama ada sebagai individu atau pemilik perniagaan.

 

Selain itu, 21 orang terpilih akan diberikan kontrak daripada Maggi untuk menyertai program bimbingan eksklusif bagi menjadi pencipta kandungan media sosial berasaskan makanan.

 

Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi di Nestlé Malaysia, Geetha Balakrishna berkata, “Kami yakin bahawa menerusi program ini, kami akan dapat meneruskan usaha menggalakkan wanita untuk melakukan perubahan positif.” -DagangNews.com