Kossan, Pantas lancar program GVC untuk bantu PKS urus pelepasan karbon | DagangNews Skip to main content

Kossan, Pantas lancar program GVC untuk bantu PKS urus pelepasan karbon

(Dari kiri ke kanan) Pengarah Urusan BSI Malaysia, Evelyn Chye; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir; Max Lee; Tan Sri Lim Kuang Sia; Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kossan, Lawrence Lim; Naib Presiden Kanan, Pembangunan Perniagaan dan Produk CGC, Azman Taufik; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor dalam majlis pelancaran program GVC pada 7 Mac 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kossan Rubber Industries (Kossan) dan Pantas Software (Pantas) telah berjaya melancarkan Program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) bagi menguruskan pelepasan karbon dalam kalangan pembekal perusahaan kecil sederhana (PKS) Kossan, hari ini.

 

Sebelum ini, program itu telah dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sempena Hari Kewangan pada persidangan COP 27 di Mesir pada 9 November 2022.

 

Di dalam kenyataan bersama kedua-dua syarikat tersebut, program GVC membolehkan pembekal mengakses Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) BNM sebanyak RM2 bilion untuk membiayai modal kerja PKS atau perbelanjaan modal berkaitan dengan amalan rendah karbon pada kadar berpatutan.

 

Menerusi program ini, Pantas selaku penyelesai teknologi iklim berpangkalan di Malaysia akan membantu PKS mengukur pelepasan gas rumah hijau dan melaporkan petunjuk kemampanan secara konsisten untuk mencapai sasaran pengurangan karbon negara.

 

Di samping itu, PKS dapat mengakses penyelesaian perisian perakaunan karbon Pantas secara percuma serta mendapatkan perkhidmatan latihan dan perundingan daripada rakan kongsi penyedia perkhidmatan GVC seperti Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), British Standards Institution (BSI), dan AmBank Berhad (AmBank) untuk memulakan pengurusan karbon mereka.

 

Program GVC ini disokong oleh Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3) yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Berikutan pelancaran program GVC, Pantas dan rakan kongsi penyedia perkhidmatan terpilih akan mengadakan sesi latihan serantau untuk melengkapkan pembekal PKS dengan memberi kesedaran berkenaan perubahan iklim, termasuk kepentingan dan kaedah pengurusan dan pelaporan karbon.

 

Selain itu, PKS akan mendapat pemahaman yang mendalam tentang proses jaminan dan akses kepada produk pembiayaan berkaitan iklim.

 

 

Tan Sri Lim Kuang Sia
Tan Sri Lim Kuang Sia

 

 

Mengulas berkenaan pelancaran program itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kossan, Tan Sri Lim Kuang Sia berkata program itu adalah sebahagian daripada Dasar Kelestarian L.I.V.E Kossan.

 

“Kami percaya untuk kejayaan perjalanan kemampanan, pengukuhan perkongsian dan kerjasama perlu dilakukan dan program ini memanfaatkan hubungan kedua-dua pembekal dan syarikat di samping menjaga alam sekitar,” ujar beliau.

 

 

Max Lee
Max Lee

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Pantas, Max Lee percaya penyelesaian perisian bersepadu, latihan berkaitan dan kesedaran adalah penting agar PKS terlibat dalam usaha kemampanan Kossan bagi memastikan peralihan karbon rendah berjaya dilakukan. -DagangNews.com