Koop Sahabat bangunkan resort dan pusat perubatan moden Islam dengan GDV RM250 juta | DagangNews Skip to main content

Koop Sahabat bangunkan resort dan pusat perubatan moden Islam dengan GDV RM250 juta

Para penerima anugerah koperasi terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 bergambar ketika Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan yang diadakan di Setia Alam, Selangor pada 9 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zaharah bagi cadangan projek pembangunan hartanah resort hotel di Pantai Chenang, Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan (Ambulatory Care Centre) di Kuantan, Pahang.

 

Menerusi perjanjian tersebut, Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel dengan kapasiti bilik sebanyak 300 unit di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pulau Langkawi dengan menggunakan jenama Fairfield By Marriott.

 

Manakala, Ambulatory Care Centre akan dikendalikan oleh Hospital Islam Az Zahrah, yang bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan, atau intervensi penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini perubatan.

 

Pusat perubatan ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, oncology suites, assisted living, hemodialisis, pengimejan diagnostik, confinement suites, wellness spa dan beberapa lagi fasiliti sokongan perubatan. 

 

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, kedua-dua projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM250 juta dan dijangka beroperasi pada 2024 dan 2026.

 

"Ia dilihat mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang telah dirangka pihak koperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh Mohd Najib bersama Pengarah Kanan, Pembangunan Hotel Asia Pasifik Marriott International, Andree Susilo dan wakil Hospital Islam Az Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman disaksikan Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta.

 

 

koop
Mohd Najib Mohd Noor (kanan) bersama Ali Karimi Abd Rahman menandatangani MoU kerjasama Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre ketika program Real Estate Invest Day dan Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan di Setia Alam, Selangor pada 9 Mac 2023.

 

 

Koop Sahabat juga yakin dengan pembangunan hartanah tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan sahaja, sebaliknya penumpuan harus diberikan kepada pembangunan secara 'Built To Suit' yang mana mampu membantu pihak kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital, pusat pendidikan dan sebagainya. 

 

Koop Sahabat yang juga merupakan kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan cuba untuk memainkan peranan di dalam membantu pihak kerajaan membina infrastruktur asas di negara ini. 

 

 

koop
Mohd Najib Mohd Noor (dua, kanan) menerima anugerah koperasi ke-7 terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh SKM.

 

 

Sempena program 'Real Estate Invest Day' dan Majlis Apresiasi Koperasi terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan, telah diadakan seminar berkaitan potensi pelaburan hartanah dengan penglibatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

 

 

koop

 

 

Program jaringan bersama rakan strategik yang dicetuskan oleh SKM dan Koop Sahabat ini diharap dapat mengabungkan pelbagai bidang kepakaran dalam gerakan koperasi supaya dapat memberikan impak yang baik kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Dalam majlis sama, Koop Sahabat dinobatkan sebagai koperasi ke-7 terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh SKM. - DagangNews.com