Kembara Agong di Lebuhraya Pan Borneo dirancang pada September ini sempena Hari Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kembara Agong di Lebuhraya Pan Borneo dirancang pada September ini sempena Hari Malaysia

KUCHING 16 Feb - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Aminah Azizah Maimunah Iskandariah bakal merentasi Lebuhraya Pan Borneo pada September ini sempena sambutan Hari Malaysia.

 

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata lawatan sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dijangka bermula dari Sarawak menghala ke Sabah melalui Brunei.

 

Menzahirkan rasa teruja apabila mendengar Baginda ingin memandu di sepanjang Pan Lebuhraya Borneo dan bertemu rakyat Sarawak dan Sabah, Nanta berkata berita tersebut amat dialu-alukan.

 

“Masih terlalu awal untuk menyatakan tetapi saya difahamkan bahawa beberapa pertemuan melibatkan agensi dan jabatan di Sarawak telah pun diadakan,” katanya kepada media di Lobi kompleks Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

 

Nanta menegaskan bahawa titah Baginda secara tidak langsung mencerminkan penghargaan baginda terhadap usaha Kementerian Kerja Raya khususnya mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo.

 

BERITA BERKAITAN: Agong zahir impian memandu menelusuri lebuhraya Pan Borneo

 

“Pada masa yang sama, ia adalah penghargaan atas usaha Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang merupakan bekas Menteri Kerja Raya.

 

“Sekarang saya diamanahkan untuk mengetuai kementerian ini, saya rasa bertuah kerana kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo telah dijalankan pada zaman Fadillah. Ia adalah satu pencapaian baik Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya lagi.

 

 

agong

 

 

Pada 13 Februari lalu, Baginda telah menyatakan hasrat untuk memandu di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak semasa Titah Diraja baginda ketika merasmikan sesi kedua Parlimen ke-15.

 

Baginda juga bertitah berbesar hati dengan kemajuan Lebuhraya Pan Borneo projek di Sabah dan Sarawak yang bermula pada 2015 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2024.

 

Satu program jelajah sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan persekutuan serta kerajaan Sarawak dan Sabah. - DagangNews.com