KAB meterai perjanjian pembelian tenaga solar 20 tahun dengan Nextgreen | DagangNews Skip to main content

KAB meterai perjanjian pembelian tenaga solar 20 tahun dengan Nextgreen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) 20 tahun dengan Nextgreen Pulp and Paper Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Nextgreen Global Berhad.

 

Penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga itu dalam satu kenyataan berkata, mereka telah memeterai dua PPA dengan Nextgreen bagi mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendali dan menyelenggara sistem solar PV dengan jumlah kapasiti gabungan puncak 3,387 kilowatt ( kWp) di atas bumbung pelbagai kilang pengeluaran dan bangunan di Taman Teknologi Hijau Nextgreen di Pekan, Pahang.

 

KAB berkata, Nextgreen juga akan membeli tenaga PV solar yang dijana.

 

Sistem solar PV akan dipasang dalam dua fasa, dengan Fasa 1 mempunyai kapasiti terpasang 2,507 kWp, dan Fasa 2 dengan 880 kWp.

 

KAB berkata, PPA dijangka menyumbang kepada prestasi kewangannya pada 2023, apabila siap dalam tempoh sembilan bulan selepas pemasangan dimulakan.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, kontrak solar PV solar dengan Nextgreen direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan kemampanan operasi pembuatan dan menyokong aspirasinya untuk mencapai ekonomi hijau.

 

"Kami berharap dapat menjalin kerjasama pada masa hadapan bagi menyediakan rangkaian kepakaran SES (penyelesaian tenaga lestari) yang lebih luas, kerana Nextgreen terus membangunkan Taman Teknologi Hijaunya yang mampan.

 

“Ini akan membolehkan kami menyumbang sebagai penyedia penyelesaian penting kepada model perintis Nextgreen untuk mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi sifar sisa untuk industri yang mampan di Malaysia,” katanya.

 

Keng Onn berkata, segmen penyelesaian tenaga mampan KAB mempunyai 11 kontrak solar PV operasi di Malaysia dan Thailand dengan gabungan kapasiti terpasang 12,931 kWp, serta kemudahan penjanaan bersama dan pemulihan haba sisa. - DagangNews.com