KUALA LUMPUR 16 Nov - Penyedia penyelesaian pembuatan automatik, ECA Integrated Solution Bhd. yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, 23 November ini menyaksikan tawaran awam permulaannya (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 110.17 kali.
Penyenaraian kumpulan memerlukan terbitan awam sebanyak 150,000,000 saham biasa baharu pada harga terbitan 17 sen sesaham, mewakili kira-kira 26.0% daripada modal saham yang diperbesarkan, dengan jangkaan perolehan daripada IPO sebanyak RM25.5 juta.
Selain itu, terdapat juga tawaran untuk penjualan 48,000,000 saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
ECA telah menerima sejumlah 19,139 permohonan untuk 3,210,460,200 saham dengan nilai kira-kira RM545.8 juta bagi 28,880,000 saham yang diperuntukkan kepada orang awam, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 110.17 kali.
Bagi kategori bumiputera, terdapat sejumlah 8,980 permohonan diterima untuk 1,020,099,500 saham, menjadikan kadar lebihan langganan sebanyak 69.64 kali.
Sementara itu, kategori awam Malaysia yang lain menyaksikan 10,159 permohonan diterima untuk 2,190,360,700 saham, mewakili kadar terlebih langganan yang lebih tinggi sebanyak 150.69 kali.
Sebanyak 14,400,000 saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan ECA telah dilanggan sepenuhnya.
Dalam kenyataan hari ini, pemegang saham utamanya yang juga Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawau Operasi, Chua Lye Hock berkata, sambutan yang begitu menggalakkan untuk IPO syarikat mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap asas dan prospek ECA.
"Dengan adanya dana IPO, kami bersedia untuk melaksanakan rancangan pengembangan kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri penyelesaian pembuatan automasi global," katanya.
Selepas disenaraikan, ECA akan mempunyai pasaran modal hampir RM98.2 juta berdasarkan kepada harga terbitan 17 sen sesaham dan modal saham diperbesarkan sebanyak 577,500,225 saham.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. adalah penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com








