Indonesia bakal miliki aset moden perkasakan sistem pertahanan udara  | DagangNews Skip to main content

Indonesia bakal miliki aset moden perkasakan sistem pertahanan udara 

Faktor geografi negara berpulau menuntut Indonesia merancang pembangunan aset-aset ketenteraan secara bijak.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

INDONESIA yang 25 tahun lalu terpaksa mengamalkan dasar `ikat perut' dalam perbelanjaan pertahanan kerana kegawatan ekonomi, kini sebaliknya mula beralih kepada usaha giat memodenkan aset ketenteraan republik itu.

 

Terbaharu, republik itu menjadi negara ketiga di rantau ini yang memiliki pertahanan udara digeruni apabila mengoperasikan sistem peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM).

 

Ini berikutan persetujuan untuk membeli sistem peluru berpandu Khan buatan firma Roketsan, Turkiye yang dimeterai semasa pameran pertahanan Indo Defence di Jakarta.

 

Roketsan merupakan firma persenjataan dan kontraktor pertahanan utama di Turkiye yang berpengkalan di Ankara. 


 

roketsan
Sistem pertahanan udara Khan bakal menggandakan keupayaan Indonesia.

 


Firma ini dimiliki Angkatan Tentera Turkiye sebagai pemegang saham terbesar dengan gabungan beberapa firma lain seperti Aselsan, MKEK dan Havelsan.

 

Dua lagi negara yang menjadi pengguna ekslusif SRBM ialah Vietnam dengan sistem peluru berpandu Scud dan Filipina (Brahmos).

 

Sepertimana negara serantau Vietnam, Filipina dan Malaysia, republik ini turut berhadapan dengan isu keselamatan di Laut China Selatan.


 

nasam
Indonesia menjadi pengguna sistem pertahanan udara NASAM yang turut dimiliki 12 negara lain.

 


Ia berikutan beberapa pencerobohan perairan dan ruang udara yang dilakukan oleh tentera China walaupun kebanyakannya selesai melalui saluran diplomatik.

 

Khan, versi eksport bagi sistem peluru berpandu Bora digunakan oleh tentera Turkiye.

 

Dengan ukuran lebar 610 milimeter (mm), panjang 8 meter (m) dan berat 2.8 tan, ia mampu menujah ke sasaran sehingga 280 kilometer.

 

Ia dipandu menerusi sistem penjejak kedudukan posisi global dengan membawa peledak seberat 570 kilogram.

 

Peluru berpandu ini boleh dibawa dan  dilancarkan pada kenderaan Tatra T-815 8×8 atau sebarang kenderaaan taktikal yang bersesuaian.

 

Setiap unit peluru berpandu disimpan dalam tiub pelancar pelbagai laras lantas menjadikan ia sebagai sistem pertahanan udara bermobiliti tinggi.

 

Selain peluru berpandu Khan, Indonesia turut bersetuju untuk mendapatkan sistem peluru berpandu Hisar juga dari Turkiye.

 

Hisar merupakan satu sistem pertahanan udara yang mempunyai tiga kategori iaitu jarak dekat (Hisar-A), sederhana (Hisar-O) dan jauh (Hisar-U) iaitu sehingga 100km.

 

hisar
Hisar dibangunkan oleh firma Roketsan manakala bahagian elektronik dan sensor oleh Aselsan.


 

Indonesia dikatakan bakal memperoleh sistem pertahanan udara Hisar-O dan Hisar-U yang akan dikenali sebagai sistem Trisula-O dan Trisula-U.

 

Dikhabarkan juga bahawa Bangladesh turut menyatakan minat untuk mendapatkan sistem Hisar-O bagi memodenkan pertahanan udara negara tersebut.

 

Rancangan Indonesia untuk memperkasa pertahanan udara ini bagaimana pun bukanlah sesuatu yang hendak dihairankan memandangkan faktor geografi negara berpulau.

 

Kedudukan wilayah-wilayah yang bertaburan sebenarnya memberikan cabaran besar dalam soal menyusun kekuatan tentera.

 

Sebab itu perolehan dari Turkiye ini dilihat hanya sebagai pelengkap kepada pembelian terdahulu.

 

Pada 2017, Indonesia telah memesan dua bateri sistem pertahanan udara NASAMS 2 dari firma Korngsberg Group.

 

Perolehan bernilai AS$77 juta itu melibatkan 12 unit sistem pelancar bagi kekuatan dua buah bateri pertahanan udara.


 

nasam
NASAM 2 dibangunkan bersama oleh Kongsberg Defense & Aerospace dengan firma Raytheon dari AS.

 


NASAM merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana antara yang paling baik ketika ini yang digunakan oleh 13 buah negara.

 

Malaysia

Perolehan besar seperti ini sangat dinanti-nantikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tambahan pula dengan isu-isu serantau yang memerlukan angkatan itu diperkasakan.

 

Kali terakhir Malaysia membeli sistem pertahanan udara moden ialah pada 2002 dengan kos sebanyak AS$350 juta sebagai langkah untuk menggandakan payung pertahanan udara negara.

 

Ia adalah sistem pertahanan udara jarak rendah (Shorad) Jernas yang dibekalkan firma MBDA manakala sistem Igla iaitu pelancar bahu (manpad) dari Rosoboronexport, Rusia.


 

jernas
Sistem Jernas yang pernah diguna oleh pertahanan udara Malaysia telah ditamatkan dua tahun lalu.

 


Jernas kini tidak lagi digunakan sejak dua tahun lalu setelah ia melepasi tempoh hayat penggunaan dan belum ada pengganti.

 

Pada 2015, kontrak bernilai AS$154.3 juta dimeterai antara firma Thales dengan Global Komited, iaitu anak syarikat Westar Group bagi perolehan sistem pertahanan udara jarak dekat Starstreak.

 

Sistem Starstreak dibekalkan kepada Pasukan Pertahanan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia bagi tujuan pertahanan pangkalan.

 

Bagaimana pun, persenjataan tersebut kini dioperasikan oleh Tentera Darat.

 

Sejak tahun 1998, Malaysia telah pun merancang untuk mempunyai sistem pertahanan udara jarak sederhana dan sepanjang tempoh itu pelbagai calon diketengahkan.


 

starstreak
Starstreak walaupun dikatakan sebagai peluru berpandu jarak dekat yang terbaik tetapi jumlah yang Tentera Darat miliki kecil.

 


Pada satu ketika, program Ground Base Air Defense (GBAD) ini dikatakan sebagai perolehan kritikal dan perlu dilaksanakan segera bagi kepentingan melindungi ruang angkasa negara.

 

Apa yang mendukacitakan, hingga kini perolehan GBAD masih tergantung dan situasi terpaksa melaksanakan perbelanjaan pertahanan secara ikat perut mungkin menyukarkan lagi keadaan. - DagangNews.com