KUALA LUMPUR 23 Dis - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal setinggi 4% pada November dengan mata indeks berada pada 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari-November 2022, inflasi meningkat 3.4% berbanding 2.3% bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun kadar inflasi kekal pada paras yang sama 4% pada Oktober 2022.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi pada bulan tersebut meningkat kepada 0.3% berbanding 0.2% pada Oktober 2022.
Inflasi kumpulan makanan yang meningkat 7.3% kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi bulan ini.
Selain itu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7% berbanding Oktober 2022 (6.8%).
Namun begitu, peningkatan yang lebih rendah berbanding Oktober 2022 bagi kumpulan pengangkutan (5%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.8%) sedikit sebanyak telah meredakan inflasi negara.
"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terus mencatatkan peningkatan kepada 7.3%. Kenaikan ini sebahagiannya didorong oleh peningkatan harga makanan dimasak terutama berasaskan ayam dan tepung.
"Indeks makanan di luar rumah meningkat 9.6% manakala komponen kakanan di rumah mencatatkan kenaikan 5.8%," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, inflasi teras terus mencatatkan kadar tertinggi 4.2% pada November berbanding 4.1% pada bulan sebelumnya.
Inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, namun tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga.
Pada November 2022, empat negeri menunjukkan peningkatan inflasi melebihi paras nasional 4% iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9%), Selangor (4.8%), Sarawak (4.7%) dan Johor (4.2%).
Namun begitu, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.4%.
Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding beberapa negara terpilih, iaitu Kawasan Euro (10%), Amerika Syarikat (7.1%) Filipina (8.0%), Thailand (5.6%), Indonesia (5.4%) dan Republik Korea (5%). - DagangNews.com








