Hospital Futuristik antara kelainan ditampilkan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan | DagangNews.com Skip to main content

Hospital Futuristik antara kelainan ditampilkan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan

Gambar hiasan

SEREMBAN 6 Okt - Replika Hospital Futuristik adalah antara kelainan yang ditampilkan pada siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Seri Jempol, Bandar Seri Jempol dekat sini, selama tiga hari bermula 7 Oktober ini.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Harjeet Singh berkata, replika hospital  itu memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman seolah-olah berada di hospital masa hadapan yang menggunakan sistem dan teknologi canggih yang mungkin belum pernah dilihat mereka sebelum ini.

 

“Itu antara kelainan yang kita bawa berbanding AKM sebelum ini. KKM juga menjadikan usahawan kendera saji yang meniaga di tapak program sebagai agen promosi makanan sihat dan selamat dengan memberikan apron yang mempunyai mesej kesihatan untuk digunakan mereka sepanjang AKM berkenaan.

 

“Kita juga menyediakan cecair pembasuh tangan untuk pengunjung sepanjang jelajah itu bagi memastikan kebersihan, selain menggalakkan serta menjamin kualiti makanan yang dijual,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Beliau berkata, AKM kali ini yang diterajui KKM bertemakan 'Keluarga Sihat Malaysia Ku Sejahtera’ turut menggalakkan usahawan melaksanakan aktiviti berunsur kesihatan selari dengan misi kementerian itu dalam mempromosikan pembudayaan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

 

Harjeet berkata, secara keseluruhannya terdapat lebih 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), selain kendera saji dan reruai Citarasa Keluarga Malaysia bakal diketengahkan.

 

“Ayuh kita memeriahkan AKM kali ini sambil mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan lebih 30 agensi kerajaan.

 

 

AKM

 

 

“Pengunjung juga boleh merebut peluang mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang murah berbanding pasaran serta berpeluang melihat dan merasai pengalaman dipameran hospital masa hadapan di reruai KKM,” katanya dan menambah AKM kali ini dijangka dihadiri kira-kira 120,000 pengunjung. - DagangNews.com