Guru sekolah di Tenom, Sabah raih Hadiah Guru Malaysia kelolaan PEMIMPIN GSL   | DagangNews Skip to main content

Guru sekolah di Tenom, Sabah raih Hadiah Guru Malaysia kelolaan PEMIMPIN GSL  

Anuthra Sirisena dari SMJK Chung Hwa, Tenom telah memenangi RM50,000 dan berharap untuk mengembangkan Pusat Inovasi Tenom.

GURU di Tenom, Sabah iaitu Anuthra Sirisena telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Guru Malaysia yang pertama.

 

Anugerah yang merupakan Hadiah Guru Global versi tempatan ini telah dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation, mengiktiraf sumbangan cemerlang guru di seluruh negara dan merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 YTL Foundation tahun ini.

 

Hadiah Guru Malaysia bermatlamat untuk memberikan sinar kepada wira-wira yang tidak didendang yang  memperjuangkan dan memperkasakan generasi Malaysia yang akan datang, di dalam dan di luar bilik darjah.

 

Sebagai pemenang Hadiah Guru Malaysia yang pertama, Anuthra membawa pulang RM50,000 sebagai pengiktirafan terhadap kaedah pengajarannya yang inovatif dan impak yang beliau lakukan yang memberikan inspirasi kepada anak-anak muridnya dan komuniti setempat.

 

Anuthra telah disenarai pendek daripada lebih 800 permohonan yang cemerlang di seluruh Malaysia, dipilih oleh panel hakim yang dihormati yang terdiri daripada ahli akademik, pegawai Kementerian Pendidikan dan individu daripada organisasi pendidikan dan bukan pendidikan di seluruh negara.

 

parafrasa
Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan trofi Hadiah Guru Malaysia kepada Anuthra Sirisena di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

 

Pemenang Sulung Hadiah Guru Malaysia

Anuthra Sirisena dari Tenom, Sabah, yang mengajar di SMJK Chung Hwa, adalah juara di dalam dan di luar sekolahnya.

 

Sebagai seorang guru kimia, beliau mengintegrasikan teknologi dan gamifikasi dalam bilik darjahnya yang menyumbang kepada sekolahnya berada dalam kedudukan 10 sekolah terbaik untuk subjek Kimia SPM secara konsisten di Sabah.

 

Di luar bilik darjah, beliau merupakan pengasas bersama Pusat Inovasi Tenom (TIC), sebuah pusat yang telah melatih lebih daripada 2,000 guru dan murid dari sekolah luar bandar dalam bidang robotik dan pengaturcaraan.

 

Sebagai pemenang sulung Hadiah Guru Malaysia, Anuthra berharap dapat menggunakan wang ganjaran tersebut untuk mengembangkan TIC dan membina ‘Pedalaman Makers-Hub’ yang akan menghubungkan empat daerah di pedalaman Sabah.

 

“Dedikasi Anuthra terhadap profesion dan dalam memastikan setiap murid di dalam bilik darjahnya mencapai potensi penuh adalah amat mengagumkan dan ia merupakan salah satu faktor utama yang mendorongnya memenangi anugerah Hadiah Guru Malaysia.

 

“Kami yakin bahawa beliau akan dapat mewakili nama Hadiah Guru Malaysia dengan baik dan mempamerkan usahanya kepada komuniti perguruan yang lebih besar,” kata Cheryl Ann Fernando dan Samuel Isaiah, dari PEMIMPIN GSL.

 

 

parafrasa
Cheryl Ann Fernando dan Samuel Isaiah dari pertubuhan PEMIMPIN GSL.

 


Mereka percaya bahawa permohonan yang diterima untuk Hadiah Guru Malaysia tahun ini hanyalah permulaan sahaja dan terdapat ramai lagi guru hebat di Malaysia yang bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan taraf kehidupan murid mereka.

 

“Bagi pihak PEMIMPIN GSL, kami berbesar hati dan berterima kasih atas peluang untuk menganjurkan Hadiah Guru Malaysia pada skala ini.

 

“Sebagai bekas guru, kami ingin terus meraikan profesion guru dan meningkatkan taraf keguruan di negara kita.

 

“Kami berterima kasih kepada rakan kongsi, penaja dan rakan dalam bidang pendidikan yang telah bekerjasama dengan kami untuk menjadikan anugerah ini satu kenyataan dan yang paling utama, kami berterima kasih kepada lebih daripada 800 orang guru yang telah mencurahkan isi hati mereka di dalam borang permohonan.

 

“Kami menghargai setiap seorang daripada anda, kami berharap kami akan terus memartabatkan dan menyokong profesion keguruan di Malaysia,” kata mereka.

 

Anuthra Sirisena berkata, beliau sangat bersyukur untuk dinobatkan sebagai pemenang sulung Hadiah Guru Malaysia.

 

“Sewaktu saya menghantar permohonan untuk anugerah ini, tidak pernah terlintas di benak saya yang saya akan menerima pengiktirafan ini.

 

“Menjadi seorang guru merupakan nyala rasa saya sejak dari dulu lagi, dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah saya serta anak murid saya kecapi bersama.

 

“Guru memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada anak didiknya untuk menjadi yang terbaik, dan saya sangat berbesar hati untuk mewakili rakan-rakan guru saya dalam mengangkat martabat kerjaya sebagai seorang guru di Malaysia.

 

“Saya juga terhutang budi kepada pihak PEMIMPIN GSL dan YTL Foundation kerana menganjurkan Hadiah Guru Malaysia dan menyediakan ruang untuk kami, para guru, berkongsi kisah kami.”

 

 

Anuthra Sirisena
                                 Anuthra Sirisena



 

Bersama-sama Anuthra, 4 orang guru lagi telah diumumkan sebagai 5 Finalis oleh Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Penganugerahan Hadiah Guru Malaysia.

 

5 Finalis ini kemudiannya menerima anugerah mereka daripada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada sambutan ulang tahun ke-25 YTL Foundation pada hari yang sama, yang turut dihadiri oleh pemegang-pemegang taruh utama pelbagai industri di Malaysia. 



“Hadiah Guru Malaysia merupakan sebuah ruang untuk menonjolkan dan meraikan usaha guru-guru Malaysia yang cuba untuk membawa perubahan dalam hidup anak murid mereka, masyarakat,  dan ekosistem pendidikan Malaysia secara keseluruhannya,” kata Dato’ Kathleen Chew, Pengarah Program YTL Foundation.

 

“YTL Foundation berbesar hati untuk bekerjasama dengan PEMIMPIN GSL bagi menganjurkan Hadiah Guru Malaysia, untuk meraikan ketekunan guru-guru kita dalam memupuk minda anak bangsa” tambahnya.

 

“Sedang kami menyambut ulang tahun ke-25 YTL Foundation, kami sangat teruja untuk menyokong anugerah perdana ini, selaras dengan usaha kami selama ini dalam memperjuangkan pendidikan dan mengupayakan masyarakat.

 

“Kami tekad menyediakan peluang pendidikan dan kepimpinan kepada anak bangsa untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya dan kami harap 25 tahun yang seterusnya akan membawa kami lebih dekat dengan matlamat tersebut,” kata Dato’ Kathleen. 

 

 

Dato’ Kathleen Chew
Dato’ Kathleen Chew

 

 

Sebagai sebahagian daripada ruang lingkup Hadiah Guru Malaysia iaitu untuk menerajui impak jangka panjang bagi landskap pendidikan di Malaysia, sepuluh orang finalis anugerah ini juga akan menerima pembangunan profesionalisme bagi mengasah kepakaran mereka dan memperluas pengajaran mereka ke luar bilik darjah.

 

Dalam pada itu, Anuthra bersama-sama dengan 9 lagi orang finalis tersebut mengetuai bilik darjah interaktif di persidangan Leaps of Knowledge yang berlangsung pada 8 Oktober 2022 di JW Marriott, Kuala Lumpur.

 

Hadiah Guru Malaysia adalah anugerah tahunan yang meraikan guru-guru Malaysia dan dianjurkan untuk menyokong usaha guru-guru kita dalam mewujudkan impak yang mampan untuk murid mereka, khususnya dan masyarakat, amnya.

 

Diharapkan penyertaan dan kesedaran guru-guru Malaysia terhadap anugerah ini akan lebih meningkat pada masa akan datang supaya anugerah ini akan dapat meluaskan capaiannya bagi mempamer dan seterusnya menonjolkan guru-guru Malaysia yang membawa impak positif dalam bidang pendidikan pada masa kini dan masa-masa akan datang. – DagangNews.com