KUALA LUMPUR 21 Feb - DRB-Hicom Bhd. mengalami kerugian bersih sebanyak RM100.06 juta bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2022 daripada keuntungan bersih RM117.47 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi kurang memuaskan itu sebahagiannya disebabkan oleh penilaian akhir tahun kerugian rosot nilai aset, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM4.35 bilion daripada RM4.12 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun kewangan 2021.
Namun, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), DRB-Hicom kembali mencatat untung bersih sebanyak RM187.71 juta daripada kerugian bersih sebanyak RM296.42 juta yang direkodkan pada FY21 manakala pendapatan meningkat kepada RM15.51 bilion daripada RM12.38 bilion.
Segmen automotif menjadi pemacu utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan sebanyak 25.3% pada FY22 dengan hasil segmen itu meningkat kepada RM11.9 bilion.
Peningkatan permintaan kenderaan yang didorong pengecualian cukai jualan oleh kerajaan telah meningkatkan pendapatan Proton dan jenama lain di bawah payung DRB-HICOM, dan mengakibatkan pendapatan meningkat lebih daripada 35.2% dalam sektor automotif.
Selain daripada Proton dan syarikat-syarikat pengedar automotif, kesan positif peningkatan permintaan kenderaan turut melimpah kepada syarikat-syarikat pembuatan dan kejuruteraan kumpulan, setelah volum keseluruhan industri negara (TIV) mencapai rekod baharu dalam FY22 ke 720,658 unit.
Bagi tahun kewangan itu, pengeluar kereta nasional, Proton mencatat jualan tertinggi sejak 2013.
Sementara itu, segmen aeroangkasa & pertahanan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41% kepada RM874.91 juta bagi FY22 didorong jualan produk yang lebih tinggi di bawah unit pertahanan kumpulan manakala unit aeroangkasa mendapat manfaat daripada bermulanya kembali penerbangan komersial global berikutan larangan perjalanan yang dikuatkuasakan akibat pandemik COVID-19.
Untuk segmen perbankan pula, ia merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 13.7% berbanding RM1.12 bilion pada FY21, sebahagiannya disebabkan peningkatan hasil pembiayaan dan volum daripada hartanah serta pembiayaan peribadi kepada pelanggan.
Segmen lain dalam kumpulan mencatatkan pendapatan tahun ke tahun yang lebih baik kecuali segmen Pos Malaysia Bhd.
Mengenai prospek FY23, kumpulan menjangkakan tahun kewangan yang kekal positif terutamanya dipacu kerancakan dalam segmen automotif menerusi pengenalan model-model baharu oleh jenama-jenama dalam kumpulan termasuk Honda, Mitsubishi dan Isuzu.
"Ini bukan sahaja akan merancakkan sektor automotif tetapi dapat menarik minat belian dalam kalangan pengguna.
"Malah, ia juga akan memberikan rangsangan yang sepadan kepada syarikat-syarikat pembuatan dan kejuruteraan dalam kumpulan," katanya. - DagangNews.com








