CGS-CIMB : Penurunan harga saham punca Top Glove, Hartalega terkeluar daripada komponen utama FBM KLCI | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Penurunan harga saham punca Top Glove, Hartalega terkeluar daripada komponen utama FBM KLCI

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Dis - Penurunan mendadak harga saham Top Glove Corp. Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. sejak enam bulan lalu menyebabkan kedua-dua syarikat pengeluar sarung tangan getah ini terkeluar daripada utama FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI.

 

Menurut CGS-CIMB Research, isu lebihan bekalan dalam industri sarung tangan getah telah mempengaruhi harga saham kedua-dua syarikat berkenaan.

 

"Ini menyaksikan AMMB Holdings Bhd. dan QL Resources Bhd. menggantikan Top Glove dan Hartalega untuk berada dalam kedudukan utama, sama seperti yang kami jangkakan dalam nota kajian kami pada 21 November lalu.

 

"Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 19 Disember 2022, di mana mungkin terdapat aktiviti pengimbangan semula oleh dana pasif dan aktiviti perdagangan pada konstituen yang terjejas," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berbanding dua tahun lalu, penilaian pasaran terhadap pemain sarung tangan telah merosot. Ketika kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020, harga saham Top Glove melonjak dan syarikat itu mempunyai permodalan pasaran RM67.5 bilion, hampir menjadi entiti terbesar di Bursa Malaysia.

 

Dalam nota kajian sebelum ini, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah kerana berdasarkan semakannya, permintaan dijangka terus lemah.

 

Menurutnya, walaupun pembuat sarung tangan di seluruh dunia telah memperlahankan pelan pengembangan kapasiti mereka dengan ketara, tetapi dinamik industri kekal diterajui bekalan, dengan permintaan yang perlahan dan banyak bekalan semasa kemuncak pandemik COVID-19 mulai 2020 hingga 2021.

 

Semalam, FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd. mengumumkan perubahan kedudukan dua komponen FBM KLCI yang menyaksikan AMMB dan QL Resources menggantikan kedudukan Hartalega dan Top Glove yang dikeluarkan daripada senarai itu susulan semakan semula separuh tahun Siri Indeks FBM bagi Disember 2022.

 

Senarai simpanan FBM KLCI yang merangkumi lima bukan konstituen indeks dalam kedudukan tinggi dari segi permodalan pasaran adalah Fraser and Neave Holdings Bhd. (F&N), Gamuda Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Time Dotcom Bhd. dan Westports Holdings Bhd.

 

Senarai simpanan tersebut akan digunakan sekiranya satu atau lebih konstituen dikeluarkan daripada FBM KLCI mengikut peraturan asas indeks ketika tempoh sehingga semakan separuh tahun seterusnya.

 

Selain itu, semakan semasa itu turut membabitkan perubahan 11 konstituen dalam Indeks FBM Mid 70 dan tiga konstituen dalam Indeks FBM Hijrah Shariah.

 

Sehubungan itu, Indeks FBM Mid 70 kini merangkumi penyertaan baharu seperti Affin Bank, Berjaya Food, Dayang Enterprise Holdings, Hartalega Holdings, Heineken Malaysia, Hextar Technologies Solutions, Hong Leong Capital, PMB Technology, Top Glove Corp, Uchi Technologies dan United Plantations.

 

Perubahan itu menyaksikan AEON Credit Service (M), AMMB Holdings, Carlsberg Brewery Malaysia, Dufu Technology Corp, Genting Plantations, GHL Systems, Leong Hup International, QL Resources, Sports Toto, Sunway dan UMW Holdings dikeluarkan daripada indeks berkenaan.

 

Bagi Indeks FBM Hijrah Shariah akan melibatkan kemasukan Inari Amertron, Malaysia Airports dan Press Metal Aluminium manakala Genting Plantations, PPB Group dan Sunway dikeluarkan.

 

Kesemua perubahan konstituen akan berkuatkuasa pada 19 Disember 2022 manakala semakan seterusnya akan dilaksanakan pada Jun 2023.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran akhir tahun FBM KLCI pada 1,600 mata dengan pilihan utamanya adalah Genting Malaysia Bhd. MR DIY Group Bhd. dan RHB Bank Bhd. -DagangNews.com