KUALA LUMPUR 20 Julai - Makamah Sesyen di sini hari ini diberitahu sebanyak RM8 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank 30 Maple Sdn. Bhd. menerusi dua transaksi daripada akaun bank FashionValet Sdn. Bhd. lapan tahun lalu.
Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Cawangan Taman Tun Dr Ismail, Azizan Hassan, 45, berkata berdasarkan penyata akaun bank 30 Maple, terdapat dua transaksi dalam talian berjumlah RM5 juta dan RM3 juta daripada akaun bank FashionValet.
Menurut saksi itu, pemindahan RM5 juta daripada FashionValet kepada 30 Maple dilakukan pada 21 Ogos 2018, ketika baki akaun 30 Maple sebelum transaksi tersebut ialah RM2,678,853.48.
“Pada tarikh yang sama, terdapat satu lagi transaksi masuk sebanyak RM3 juta daripada FashionValet. Saya mengesahkan baki dalam akaun 30 Maple ialah RM7,678,853.48 sebelum transaksi RM3 juta itu dibuat,” katanya dalam pernyataan saksi di Mahkamah Sesyen hari ini.
Azizan merupakan saksi pertama yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan berjumlah RM8 juta daripada Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).
Mahkamah turut diberitahu berdasarkan penyata akaun bank 30 Maple, terdapat pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 daripada akaun syarikat itu pada 3 September 2018.
“Terdapat transaksi masuk sebanyak RM5 juta pada tarikh yang sama (3 September 2018) dan pengeluaran sebanyak RM5 juta pada 4 September 2018 dengan keterangan transaksi ‘Interim Dividend FADZARUDIN SHAH’,” kata Azizan lapor The Star.
Saksi itu turut mengesahkan bahawa penandatangan yang diberi kuasa bagi akaun 30 Maple ialah Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar.
Vivy dan Fadzarudin didakwa, atas kapasiti mereka sebagai pengarah syarikat, telah secara tidak jujur membuat pembayaran sebanyak RM8 juta daripada FashionValet Sdn. Bhd. kepada 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan lembaga pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan Public Bank di Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Mereka didakwa bersama mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, Vivy dan Fadzarudin berdepan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda.
Perbicaraan bersambung pada Jumaat, 24 Julai, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad. - DagangNews.com








