RHB Research: Projek bukan kediaman berpeluang menyumbang lebih 70% kontrak pembinaan pada 2H26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Projek bukan kediaman berpeluang menyumbang lebih 70% kontrak pembinaan pada 2H26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 Julai – Projek bukan kediaman dijangka terus menyumbang positif lebih 70% daripada keseluruhan kontrak pembinaan pada tempoh separuh kedua 2026 (2H26), menurut analisis RHB Research.

 

Perkembangan itu dipacu pertumbuhan pesat sektor perindustrian dan pembangunan pusat data (DC), sekali gus mengimbangi cabaran kenaikan kos bahan binaan akibat ketidaktentuan geopolitik global ketika ini.

 

Justeru, prospek sektor pembinaan adalah positif serta ia mengekalkan penarafan 'overweight', dengan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group dan Kerjaya Prospek Group sebagai saham pilihan utama.

 

"Nilai seluruh kontrak pembinaan sepanjang enam bulan pertama 2026 (6M26) mencecah RM107.8 bilion, berbanding RM239.8 bilion bagi 2025 yang merupakan rekod tertinggi sejak 2016," kata RHB Research.

 

Daripada jumlah itu, projek bukan kediaman termasuk sektor perindustrian dan DC menyumbang RM83.3 bilion atau 77% daripada keseluruhan kontrak, manakala projek infrastruktur menjana RM13.9 bilion.

 

Berdasarkan maklumat Tenaga Nasional Berhad (TNB), sejumlah 10 projek DC sudah memeterai perjanjian bekalan elektrik (ESA) yang melibatkan jumlah permintaan maksimum tenaga sebanyak 2 gigawatt (GW).

 

kilang_DagangNews2026

 

Jika diambil kira nisbah keberkesanan penggunaan tenaga (PUE), kapasiti itu dianggarkan memerlukan nilai pembinaan sekitar RM38 bilion berdasarkan kos konservatif RM20 juta bagi setiap megawatt (MW).

 

"Kami percaya masih terdapat potensi peningkatan nilai projek DC kerana beberapa pelaburan dijangka memasuki Malaysia walaupun belum memeterai ESA dengan TNB," tambah firma penyelidikan berkenaan.

 

RHB Research berkata, antara projek yang dijangka menjadi tumpuan utama pada tempoh 2H26 ialah pembangunan DC yang melibatkan pembelian tanah seluas kira-kira 150 hektar oleh Microsoft di Johor.

 

Bagi projek infrastruktur, peluang kontrak utama dijangka Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang bernilai sekitar RM3 bilion, selain sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM900 juta.

 

Menurutnya, lebih banyak projek baharu dijangka dilaksanakan menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP) yang memberi kelebihan kepada kontraktor dengan mempunyai kedudukan kewangan amat kukuh.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan yang risiko utama sektor pembinaan masih lagi berpunca daripada kemungkinan kenaikan kos bahan binaan susulan konflik di rantau Timur Tengah," jelas RHB Research.

 

Ia namun berpandangan impaknya dijangka lebih terkawal berbanding ketika konflik memuncak sebelum ini, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan sektor yang kekal positif. - DagangNews.com