Brahim's mahu ketengah menu asli Sarawak ke pasaran global | DagangNews Skip to main content

Brahim's mahu ketengah menu asli Sarawak ke pasaran global

Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Nov - Dewina Holdings Sdn Bhd, pengeluar makanan berjenama Brahim’s kini dalam perancangan untuk memperluas rangkaian produk pek makanan sedia dimakan dengan mengetengahkan menu ikonik Bumi Kenyalang seperti mi kolok, laksa dan nasi goreng dabai di pasaran antarabangsa. 

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan agensi di Sarawak bagi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya melibatkan jangka hayat produk makanan tradisional itu. 

 

“Salah satu masalah dalam (penghasilan) makanan tempatan ini ialah jangka hayat kerana mampu bertahan satu hingga dua hari. Oleh itu, jika ada usaha R&D yang dapat melanjutkan hayatnya kepada dua tahun, produk itu mampu tembusi pasaran dunia,” katanya.

 

Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Brahim’s Outdoor edisi Sarawak di sini baru-baru ini, bagi memperkenalkan makanan sedia dimakan Brahim’s khusus bagi aktiviti luar, lapor Bernama.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor.

 

Sementara itu, Sahrzede berkata, produk Brahim’s berasaskan sajian negeri itu perlu mengutamakan aspek kualiti dan keaslian rasa sebagaimana laksa Sarawak yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

 

“Kita perlu pastikan kualiti dan rasa sebenar laksa Sarawak itu seperti yang STB promosikan di seluruh dunia. Justeru, saya teruja untuk melihat kerjasama STB dan syarikat Brahim’s, bukan dari sektor makanan tetapi juga sudut kelestarian,” katanya.

Pada masa ini lebih 70 produk keluaran Brahim’s seperti nasi goreng kampung, beriani kambing, nasi lemak dan beriani ayam, berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Jepun, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com