BNM : Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 8.7% keseluruhan 2022, berkembang 7% suku keempat   | DagangNews Skip to main content

BNM : Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 8.7% keseluruhan 2022, berkembang 7% suku keempat  

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan pada suku keempat 2022 sebanyak 7% menjadikan keseluruhan pertumbuhan pada 8.7%, tertinggi dalam tempoh 22 tahun.

 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan itu masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang iaitu 5.1%, didorong langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang. 

 

Aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta. 

 

Penggunaan swasta yang terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik. 

 

Sementara itu, pertumbuhan eksport keseluruhan menjadi sederhana sejajar dengan permintaan luaran yang semakin lemah. 

 

"Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta aktiviti pelancongan yang lebih giat. Sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan.

 

"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.6%," katanya dalam kenyataan hari ini.
 

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.9% pada suku keempat 2022. Penurunan yang sederhana ini sebahagian besarnya disebabkan luputnya kesan asas inflasi elektrik iaitu penyumbang utama kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021. 

 

Trend penurunan dalam harga komoditi utama dunia sebahagiannya menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa barangan Indeks Harga Pengguna (IHP), termasuk bahan api.

 

BNM berkata, inflasi beberapa bahan makanan ruji utama, seperti daging segar dan telur, juga menjadi sederhana pada suku tersebut. 

 

Bagaimanapun, kesan penurunan daripada faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi. 

 

Inflasi teras meningkat kepada 4.2% berbanding 3.7% pada suku ketiga, didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang masih tinggi. 

 

Bagi keseluruhan tahun 2022, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3% (2021: 2.5%) dan purata inflasi teras lebih tinggi pada 3.0% (2021: 0.7%). - DagangNews.com