KUALA LUMPUR 4 April - AmInvestment Research mengurangkan keuntungan bersih tahun kewangan 2023 (FY23) Malakoff Corporation Bhd sebanyak 8% untuk mengambil kira margin bahan api yang lebih lemah akibat kejatuhan kos arang batu dan gas.
Firma penyelidikan itu menambah, keuntungan bersih teras juga dijangka turun pada FY23 disebabkan perjanjian pembelian kuasa (PPA) GB3 tamat tempoh pada Disember 2022.
“Kami telah pun mengambil kira perkara ini dalam ramalan pendapatan kumpulan, di mana loji kuasa gas GB3 (640MW) telah menyumbang 11% daripada pembayaran kapasiti Malakoff pada tahun kewangan 2022 (FY22),” katanya dalam nota hari ini.
Di samping itu, kumpulan tersebut sedang meneroka potensi penjualan aset GB3 yang mempunyai nilai baki berjumlah RM90 juta pada akhir tahun kewangan 2021 (FY21).
Dari segi positif, kata firma itu, pemberhentian yang dirancang dijangka minimum bagi FY23, di mana loji jana kuasa Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) telah dihentikan lebih daripada 30 hari dalam FY22 dan operasi TBE telah stabil selepas penggantian bilah turbin pada Oktober 2022.
Sementara itu, kadar hentian tidak dirancang (UOR) TBE telah jatuh di bawah 10% pada Februari berbanding lebih 20% awal FY22.
Firma itu turut menganggap keuntungan bersih Alam Flora akan meningkat kepada RM120 juta pada FY23 akibat kos penyelenggaraan armada yang lebih tinggi pada FY22 dan jumlah sisa terurus (konsesi) dianggarkan meningkat sebanyak 3% kepada 1.2 juta tan pada FY23.
“Malakoff juga dijangka memperoleh lebih banyak projek solar atas bumbung dalam FY23, namun, tidak menjangkakan sumbangan pendapatan adalah signifikan kerana saiz projek adalah kecil,” katanya.
Setakat ini, Malakoff telah terlibat dengan projek solar atas bumbung 23MW dan mempunyai kapasiti penjanaan berkesan sebanyak 5,342MW secara keseluruhan.
“Kami percaya bahawa Malakoff sepatutnya dapat mengekalkan pembayaran dividennya dan meramalkan dividen sesaham (DPS) kasar sebanyak 5 sen untuk FY23, membayangkan hasil yang baik sebanyak 7.3%,” tambahnya.
AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ pada nilai saksama (FV) 81 sen sesaham dengan kos purata wajaran modal (WACC) 7.5%. -DagangNews.com








