Co-opbank Pertama komited tawar pelbagai produk pembiayaan bantu gerakan koperasi | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama komited tawar pelbagai produk pembiayaan bantu gerakan koperasi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Co-opbank Pertama (CBP) terus komited untuk membantu gerakan koperasi di negara ini dengan menawarkan pelbagai jenis produk pembiayaan, sempena ulang tahun ke-72 penubuhannya.

 

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, pihaknya juga tidak mengenepikan masyarakat dengan terus menawarkan pelbagai produk pembiayaan dan perkhidmatan yang diperlukan termasuklah pembiayaan peribadi, pembiayaan hartanah, pembiayaan perumahan, akaun simpanan dan Ar Rahnu. 

 

"Bagi koperasi pula, kita menawarkan pembiayaan berjangka, pembiayaan kredit pusingan, pembiayaan pemfaktoran dan surat jaminan-i. CBP akan terus memperkenalkan pelbagai jenis lagi produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi di negara ini, CBP tidak melepaskan peluang untuk meraikan sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK) pada Julai 2022.

 

Menurut Baharom, sebagai tanda sokongan kepada gerakan koperasi di negara ini, CBP juga turut terlibat dalam sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di seluruh Malaysia.

 

“CBP bermula sebagai sebuah koperasi kecil di Pulau Pinang dan dengan pengalaman yang ada selama lebih 70 tahun ini, CBP amat memahami apa yang diperlukan bukan sahaja masyarakat, tetapi juga koperasi.

 

"CBP komited untuk terus membantu sektor koperasi di negara ini seiring dengan misi kerajaan untuk menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penyumbang ekonomi terbesar negara seperti yang telah dinyatakan di dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM)," katanya.

 

 

coop
Datuk Baharom Embi

 

 

Katanya, CBP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan agensi-agensi berkaitan untuk membantu lebih banyak koperasi.

 

"Sebagai sebuah co-opbank, CBP telah menjalani pelbagai transformasi seiring dengan peredaran masa. CBP juga telah merangkul pelbagai kejayaan dari semasa ke semasa sehinggalah dinobatkan sebagai salah satu Koperasi Premier Malaysia 2021," katanya.

 

Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur pada 2 Julai 2022. - DagangNews.com