Che Had Dhali diumum sebagai pengerusi Bina Darulaman Berhad | DagangNews Skip to main content

Che Had Dhali diumum sebagai pengerusi Bina Darulaman Berhad

KUALA LUMPUR 31 Jan – Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan pelantikan Che Had Dhali sebagai pengerusi syarikat berkuatkuasa 1 Februari 2022.

 

Berusia 57 tahun, beliau pernah menjadi ahli Lembaga pengarah BDB dari 2008 hingga 2013, memiliki lebih 33 tahun pengalaman dalam sektor perunding hartanah,

 

Che Had juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah, pernah menjawat pelbagai peranan di dalam syarikat milik kerajaan negeri.

 

Antaranya ialah sebagai Pengerusi Darulaman Aset Sdn Bhd; pengerusi Bina & Kuari Kedah Sdn Bhd.; pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK); pengarah Kedah Agro Holdings Berhad; pengarah Permodalan Kedah Berhad; pengarah Kedah Invest Center dan Kedah State Energy Resources Sdn Bhd.

 

Che Had pada masa ini memegang jawatan Pengarah Eksekutif IM Global Property Consultants Sdn Bhd dan pengarah Invest Kedah Berhad, sebuah subsidiari Perbadanan Menteri Besar Kedah.

 

Che Had memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan penilaian dan perundingan aset dengan syarikat antarabangsa Jones Lang Wootton, Arthur Lim Valuers dan Henry Butcher, Lim & Long (N) Sdn Bhd sebelum menyertai Jurunilai Bersekutu pada 1992 dan jawatan terakhirnya di Jurunilai Bersekutu ialah sebagai Eksekutif Pengarah.

 

Pada 2008, beliau telah dijemput untuk menyertai Kerajaan Negeri Kedah (KSG) sebagai Pegawai Khas merangkap Penasihat Syarikat Berkaitan Ekonomi dan Kerajaan kepada Menteri Besar Kedah ketika itu dan beberapa syarikat syarikat berkaitan kerajaan negeri lain sehingga 2010.

 

Semasa berkhidmat dengan KSG, Che Had terbabit dalam rundingan antarabangsa serta mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri di Australia, Papua New Guinea, Thailand, Indonesia, United Kingdom, Belanda, Jerman, Denmark, Qatar, Dubai, Bahrain, Mesir, Iran, Yaman dan beberapa negara lain.

 

Pembabitan beliau dalam perkhidmatan perundingan hartanah selama lebih 33 tahun meliputi pelbagai negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan serta khusus dalam kes pengambilan tanah, pasaran dan kajian daya maju untuk pembangunan besar.

 

Che Had baru-baru ini diperakui oleh International Association of Certified Valuation Specialists (IACVS) sebagai Pakar Penilaian Antarabangsa.

 

Beliau kini adalah Penilai Berdaftar merangkap Ejen Hartanah Berdaftar untuk IM Global Property Consultants dan kini mengetuai cawangan Kedah.- DagangNews.com